DSP Mohd. Nazri ekori Muhammad Zaharif sebelum langgar 

DSP Mohd. Nazri ekori Muhammad Zaharif sebelum langgar 

HAKIM Mahkamah Tinggi, Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet (dua kanan) dan barisan peguam memeriksa kenderaan yang merupakan antara barang kes pada perbicaraan kes bunuh yang membabitkan pegawai kanan polis di Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Deputi Superintenden, Mohd. Nazri Abdul Razak telah mengekori pelajar tingkatan lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie sebelum bertindak melanggar mangsa dengan kenderaan yang dipandu sangat laju.

Pegawai polis itu juga tidak langsung cuba untuk mengelak walaupun mengetahui tindakan tersebut sangat berbahaya dan boleh mengakibatkan kematian.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz dalam ucapan pembukaannya di Mahkamah Tinggi di sini pada awal prosiding perbicaraan kes bunuh membabitkan pegawai polis itu di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet.

“Perbuatan tertuduh melanggar mangsa dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kecederaan kepadanya di mana kecederaan itu adalah cukup pada lazimnya bagi menyebabkan kematian.

“(Pihak pendakwaan juga akan membuktikan) tertuduh telah melanggar mangsa walaupun mengetahui  perbuatan tersebut adalah berbahaya sehingga mungkin menyebabkan kematian atau sesuatu kecederaan yang mungkin menyebabkan kematian,” katanya.

Menurut Afzainizam, pendakwaan akan mengemukakan keterangan bahawa tertuduh yang memandu kereta Perodua Ativa telah pergi ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Jati sebelum keluar semula dan mengekori mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC.

Beliau berkata, keterangan yang dibawakan nanti adalah tertuduh telah mengekori dan mengejar pelajar SMK Taman Jati itu dari kawasan persimpangan Jalan Taman Jati 1/Jalan Pekeliling Meru Indah menuju ke kawasan Masjid Muhammad Al Fateh dan Taman Gerbang Meru Indah sebelum terus mengejar mangsa walaupun selepas berpatah balik ke lokasi asal.

“Setibanya si mati di persimpangan Jalan Taman Jati 1/Jalan Pekeliling Meru Indah, tertuduh telah melanggar dari bahagian belakang motosikal mangsa. Akibat pelanggaran itu, mangsa telah mengalami kecederaan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemeriksaan perubatan dan bedah siasat menunjukkan mangsa mengalami kecederaan maut akibat pelanggaran tersebut,” katanya.

Pada prosiding hari ini, pihak pendakwaan turut disertai Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani, V. Suloshani dan Low Qin Hui manakala pihak pembelaan dibarisi peguam-peguam bela, M. Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.

Meneruskan perbicaraan, saksi pertama pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan ialah Konstabel Muhammad Azif Daniel Abdul Ghaffar yang bertugas di kaunter aduan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Dua saksi lain ialah penjaga stor barang kes Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) IPD Ipoh, Koperal Md. Zahir Abdullah dan Pegawai Siasatan Forensik Makmal, Asisten Superintenden Nur Fairuz Idris.

Pada prosiding hari ini juga, Hakim Bhupindar bersama semua pihak terlibat dalam perbicaraan kes tersebut dibawa melihat barang kes iaitu kereta Perodua Ativa dan motosikal Yamaha 135LC yang ditempatkan di kawasan mahkamah.

Mohd. Nazri, 45, yang sebelum ini bertugas di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi, 17.

Perbuatan tertuduh itu dilakukan di persimpangan Jalan Taman Jati 1/Jalan Pekeliling Meru Indah berhampiran SMK Jati di dalam daerah Kinta antara pukul 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Disember 2023.

Pertuduhan terhadap tertuduh dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya