KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad antara yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Daim Zainuddin.
Beliau tiba di pekarangan rumah Daim di Persiaran Bukit Tunku kira-kira 12.50 tengah hari ini.
Negarawan itu meluangkan masa kira-kira 30 minit sebelum meninggalkan kediaman berkenaan sekitar pukul 1.19 petang.
Allahyarham Daim disahkan meninggal dunia pada usia 86 tahun.
Pemergian ahli politik veteran dan ahli perniagaan itu disahkan peguamnya, Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar.
Allahyarham berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dua kali, dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran Dr. Mahathir di mana beliau memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur.
Beliau kemudian kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Dr. Mahathir, untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia ketika itu.
Dilahirkan pada 29 April 1938 di Kedah, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama lima penggal antara 1982 dan 2004. – UTUSAN