Kuala Lumpur: Pakar kardiologi dan penyelidik tersohor di peringkat antarabangsa, Profesor Dr. Chim C. Lang berhasrat menjalin kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi menjalankan kajian terbaharunya mengenai keberkesanan ubat untuk pesakit jantung yang menghidap diabetes jenis satu.
Dr. Chim berkata, pada masa kini, belum ada ubat yang sesuai untuk merawat pesakit kategori itu dan sekiranya berkesan, ia bakal muncul sebagai ubat pertama digunakan untuk merawat pesakit jantung yang menggunakan insulin.
“Diabetes ada dua jenis iaitu jenis satu dan dua. Jenis satu ini biasanya pesakit muda yang tidak boleh makan ubat sebaliknya cuma boleh cucuk insulin. Kalau mereka menghidap sakit jantung, tiada ubat khas untuk merawatnya.
“Kajian menggunakan ubat baharu ini dijalankan di United Kingdom (UK) dengan peruntukkan sebanyak lebih RM5 juta.
“Saya mungkin ingin membabitkan UKM dalam penyelidikan ini nanti. Tempoh kajian dijangka mengambil masa antara tiga sehingga empat tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas berkongsi perjalanan hidupnya sehingga berjaya mengukir kejayaan di UK menerusi syarahan sulungnya sebagai Penyandang Kursi Diraja Tuanku Muhriz, bertajuk, ‘Carpe Diem, (merangkul peluang), Seizing the Day: A Personal Journey,’ di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).
Turut hadir, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Datuk Dr. Azmi Baharudin, Pro. Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur UKM, Prof. Datuk Dr. Hanafiah Harunarashid dan
Dekan Fakulti Perubatan UKM, Prof. Datin Dr. Marina Mat Baki.
Dr. Chim yang juga Profesor Kardiologi, Universiti Dundee, UK terkenal kerana hasil penyelidikan memberikan kesan ke atas masyarakat bukan saja di United Kingdom tetapi dunia.
Antaranya, dua penyelidikan yang membanggakan dijalankan sekitar tahun 90 an iaitu ujian darah ringkas bagi mengesan kegagalan jantung yang kini digunakan di seluruh dunia.
Hasil penyelidikan kedua adalah penggunaan semula ubat diuretik yang ringkas untuk rawatan kegagalan jantung. Kajian lain mengenai kegemukan atau obesiti di seluruh dunia.
Dalam syarahannya Prof. Dr. Chim berkongsi perjalanan luar biasa beliau di Malaysia sehingga ke tahap antarabangsa, dengan menekankan bagaimana falsafah Carpe Diem menjadi pendorong kepada pencapaiannya dalam bidang akademik dan penyelidikan
inovatif dalam kardiologi.
Beliau juga berkongsi pengalaman hidup dan mengambil cabaran dengan langkah berani merebut peluang kehidupan yang membentuk kerjayanya di institusi ternama di
United Kingdom dan Amerika Syarikat, termasuk di University of Dundee di mana beliau kini mengetuai penyelidikan kardiovaskular inovatif.
“Saya percaya bahawa pendidikan adalah alat yang boleh membuka dunia baharu. Dengan melangkah ke luar dari zon selesa, kita menemui keberanian untuk mencapai impian.
“Kembali ke Malaysia dan menyumbang kepada UKM adalah satu keistimewaan yang membolehkan saya memberi inspirasi kepada orang lain untuk mengejar aspirasi mereka,” katanya.
Program bersejarah itu menekankan lagi komitmen UKM dalam membentuk dan memupuk pendidikan serta penyelidikan yang bertaraf dunia.-UTUSAN