PETALING JAYA: Tawaran diskaun saman trafik akan diperluaskan di semua balai polis seluruh negara pada bulan hadapan.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pemberian diskaun saman tersebut dibuat berdasarkan penanda aras hasil tawaran pemberian disakuan sebanyak 60 peratus sempena Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024.
Namun katanya, jumlah diskaun saman tersebut bergantung kepada perbincangan selepas ini.
“Kita selesaikan dahulu pembayaran saman di program Dua Tahun Madani sehingga Ahad ini dan kemudian kita akan bermesyuarat. Kita jangka ia (program diskaun saman seluruh negara) seawal-awalnya pertengahan bulan depan.
“Tetapi kadarnya (jumlah diskaun) akan kita kaji. Diskaun 60 peratus ini istimewa sempena program ini sahaja (2TM). Kadarnya mungkin 30 atau pun 50 peratus,” katanya ketika ditemui semasa mengadakan tinjauan di kaunter saman PDRM di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, sehingga pukul 3 petang tadi, sebanyak 11,620 saman telah diselesaikan melibatkan jumlah keseluruhan RM1.03 juta.
“Setakat pukul 3 petang tadi, kira-kira 3,000 pengguna telah datang menyelesaikan saman masing-masing dan kita jangka esok dan lusa akan lebih ramai memandangkan cuti hujung minggu.
“Untuk keselesaan pengunjung, kita telah menyediakan kira-kira 25 kaunter pembayaran saman termasuk tujuh kaunter untuk orang kurang upaya, warga emas dan ibu mengandung.
“Kita juga turut menyediakan 21 mesin pembayaran layan diri serta 520 kerusi untuk keselesaan orang ramai menunggu sebelum membuat pembayaran saman,” katanya. – UTUSAN