MELAKA: Gara-gara memukul dan mengugut mahu membunuh teman wanitanya demi mendapatkan wang, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Nor Syaliati Mohd. Sobri membuat ketetapan itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Sharezuan Zaini, 31, sejurus dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan berkata ‘aku tidak akan puas hati selagi kau masih hidup’ terhadap seorang wanita berusia 40 tahun dengan niat hendak mendatangkan kegentaran dan ketakutan kepada mangsa.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 4 pagi di sebuah rumah di Jalan Melaka Raya 14 dalam daerah Melaka Tengah pada 7 November 2024.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan jika ugutan adalah untuk menyebabkan kematian atau kecederaan parah, boleh dipenjarakan selama tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh pada tarikh, masa dan tempat sama didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa sama dengan cara memukul beberapa bahagian badan hingga menyebabkan bengkak dan kecederaan.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun dan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Mengikut fakta kes, teman wanitanya yang juga pengadu memaklumkan kerap dipukul oleh tertuduh dan pada hari kejadian, lelaki itu turut mengulangi ugutan bunuh sebanyak enam kali serta memukulnya kerana mahu meminta wang.
Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan hukuman berat dikenakan manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan menanggung ibunya yang sudah tua di Sabah.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan bagi pertuduhan pertama dan lapan bulan untuk pertuduhan kedua yang bermula serentak dari tarikh ditangkap pada 8 November 2024. – UTUSAN