PETALING JAYA: Selepas dianugerahkan gelaran Bidunita Negara, penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza, terkenang kata-kata arwah bapa, Allahyarham Haji Tarudin Ismail yang mengibaratkannya seperti bunga melur.
Jelas Siti, perlambangan itu dipetik daripada lagu kesukaan arwah bapa, Bunga Melur nyanyian asal Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menceritakan bagaimana seorang gadis desa yang sederhana mempunyai pekerti yang memikat.
“Dalam meraikan detik paling manis dan bermakna ini, ingatan saya tertoleh kembali mengingatkan bait-bait kata ayah saya, Allahyarham Haji Tarudin Ismail yang sering mengibaratkan saya seperti bunga melur iaitu lagu kegemaran arwah.
“Saya sentiasa mengingatkan diri, setiap kali meraih sesuatu kejayaan, rezeki ini adalah berkat doa dan sokongan semua pihak yang selama ini menjadi tulang belakang kerjaya seni saya yang kini sudah mencecah 29 tahun ini.
“Justeru, saya juga ingin merakamkan penghargaan yang tulus khususnya kepada orang terdekat saya iaitu suami, anak-anak, ibu, arwah bapa, kaum keluarga, pengurusan, petugas dan kakitangan.
“Tidak ketinggalan, rasa terima kasih ingin saya panjangkan kepada syarikat-syarikat rakaman serta semua penerbit, komposer dan penulis lirik yang pernah terlibat dalam kerja penerbitan album saya selama ini,” katanya menerusi sebuah kenyataan kepada media.
Dalam pada itu, penyanyi Biarlah Rahsia itu turut bertekad akan menggunakan gelaran Biduanita Negara sebaiknya demi memperjuangkan budaya dan seni Malaysia.
“Dari hati yang luhur, saya melihat anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan kepada pencapaian kerjaya seni saya, namun merupakan lambang penghargaan kepada semua insan seni yang sen6asa memperjuangkan keindahan budaya dan muzik tanahair.
“Justeru, saya berikrar untuk terus menggandakan usaha memberikan nilai positif dalam mengekalkan seni budaya untuk terus dihormati, dijaga, dihargai kerana inilah warisan yang kita ada dan perlu dipelihara,” jelasnya.
Terdahulu, Siti Nurhaliza dianugerahkan gelaran Biduanita Negara sempena Anugerah Seni Negara 2024 pada Rabu.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan kepada legenda muzik tanah air itu.
Untuk rekod, hanya tiga legenda yang pernah menerima anugerah ini iaitu Allahyarham Saloma (1978), Allahyarham Sharifah Aini (2006), dan Allahyarham Tan Sri SM Salim (2013). -UTUSAN