IPOH: Seorang wanita didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang lelaki warga emas, bulan lalu.
Tertuduh, Siti Nuridah Jumli, 24, juga berdepan hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Hukuman itu dijatuhkan selepas wanita tersebut membuat pengakuan bersalah bagi pertuduhan pindaan yang dibacakan di hadapan Majistret Siti Nora Sharif.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama seorang yang masih bebas telah bertindak gopoh yang tidak terjumlah kepada mematikan orang dengan salah hingga menyebabkan kematian kepada Abd. Kamar Mat Sarin, 64.
Tertuduh melakukan perbuatan itu di hadapan pintu masuk sebuah pasar raya di Klebang, dalam daerah Kinta antara pukul 4.20 hingga 5.30 petang, 25 Oktober 2024.
Perdakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nuranisah Ismah Muhammad Husaini memohon tertuduh dikenakan hukuman berat bagi kesalahan yang dilakukannya namun Robert Gnanarajan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon agar wanita yang masih belum berkahwin itu dikenakan denda minimum atas alasan bekerja sebagai peniaga dengan pendapatan bulanan RM3,000.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas telah bertindak gopoh dengan menampar tepi muka dan belakang kepala si mati hingga menyebabkan kematiannya.
Terdapat saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian yang memperlihatkan perbuatan tersebut di mana tidak mempunyai niat untuk membunuh.
Laporan perubatan juga menunjukkan bahawa si mati mempunyai masalah sakit jantung dan tidak mendapatkan rawatan di hospital.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terbaring di hadapan pintu masuk sebuah pasar raya.
Pemeriksaan terhadap tubuh lelaki itu mendapati tiada sebarang kecederaan melainkan terdapat kesan pergelutan dipercayai antara mangsa dan suspek. – UTUSAN