LANGKAWI: Seorang peniaga yang juga pempengaruh media sosial membuat laporan polis bagi membersihkan nama dan perniagaan laksanya selepas menerima komen negatif di media sosial.
Syed Muhammad Shah Hasif, 32, atau dikenali sebagai Prince Syed yang menjalankan perniagaan menjual menu itu di sebuah karnival dianjurkan di Pulau Langkawi membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi pada pukul 5.40 pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintenden Samsulmuddin Sulaiman mengesahkan pihaknya menerima laporan dibuat lelaki tersebut.
“Tujuan laporan dibuat pengadu adalah bagi menafikan tohmahan dan tuduhan ke atasnya dan perniagaannya. Pengadu juga tidak puas hati dengan kata-kata kesat yang dilemparkan kepadanya.
“Ia juga bagi membersihkan kembali nama pengadu dan nama perniagaannya daripada tomahan terutama dalam media sosial,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, tular komen negatif di media sosial kononnya laksa dijual pempengaruh itu kurang enak berbanding laksa dijual peniaga tempatan di Langkawi.
Bagaimanapun, hantaran yang mendapat ratusan komen balas netizen itu telah dipadamkan.
Sementara itu, Syed Muhammad dalam video miliknya di Facebook berkata, laporan itu dibuat bertujuan mempertahankan diri dan menjernihkan keadaan selepas ada pihak membuat tohmahan berkaitan perniagaannya.
“Kami minta maaf dan ampun kepada seluruh warga Langkawi sebab kehadiran kami. Kepada semua yang buat hantaran video dan sebut nama kami yang tidak tahu cerita apa, kami berbesar hati sebenarnya jika mahu berjumpa untuk tahu apa yang jadi.
“Saya harap perkara ini kita hentikan dan kita tutup cerita, kami akan keluar dari sini jangan risau. Terima kasih kerana memberi kami tumpang niaga di Langkawi,” katanya.– UTUSAN