KUALA LUMPUR: Seramai 400 keluarga pekebun kecil di Sri Iskandar, Perak hilang punca pendapatan apabila mereka diarah mengosongkan tanah seluas 3,000 ekar yang sudah diusahakan sejak 2006.
Setiausaha Agung, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, arahan pengosongan itu didakwa berlandaskan satu perjanjian ditandatangani oleh pihak koperasi bumiputera dengan pihak pemaju mengakibatkan tanaman sawit mereka dimusnahkan sekali gus menjejaskan punca pendapatan utama keluarga terlibat.
“Perjanjian itu tidak sah kerana pihak tersebut bertindak atas tujuan peribadi tanpa persetujuan Ahli Lembaga Koperasi dan turut melanggar peraturan di dalam koperasi.
“Pihak pekebun kecil sudah menghantar notis kepada syarikat pemaju yang menyatakan perjanjian itu tidak sah namun bantahan mereka tidak diendahkan dan syarikat pemaju tetap terus memusnahkan tanaman sawit yang diusahakan oleh pekebun-pekebun kecil,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Hishamuddin berkata, syarikat pemaju tersebut didakwa memasukkan wang sebanyak RM4 juta ke dalam akaun koperasi, namun ahli tidak dimaklumkan mengenai penggunaan wang tersebut.
Kata beliau, wang tersebut dianggap sebagai bayaran kepada lebih 400 keluarga pekebun kecil iaitu sekitar RM6,000 setiap keluarga yang tidak memadai untuk mereka memulakan kehidupan atau pertanian baharu di tempat lain.
“Walaupun tanah ini dimiliki kerajaan negeri dan diperuntukkan untuk tujuan industri, kami percaya terdapat keperluan untuk mempertimbangkan prinsip keadilan dan doktrin undang-undang.
“Pekebun-pekebun ini merupakan peneroka awal yang mengusahakan tanah tersebut selama bertahun-tahun. Hak mereka sebagai penduduk asal tidak boleh diabaikan begitu sahaja,” katanya.
Tambahnya, satu daripada syarat yang ditetapkan ketika geran diberikan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) adalah keperluan untuk mengadakan perbincangan secara berhemah dengan pekebun kecil.
“Tindakan memusnahkan tanaman tanpa rundingan jelas bertentangan merupakan satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan penindasan kepada golongan B40. Kami berharap kerajaan mempertimbangkan cadangan kami agar pekebun ini diberi tempoh masa untuk mengutip hasil tanaman mereka sebelum tanah tersebut diambil alih,” jelasnya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Koperasi Sungai Tumboh Berhad, Ab Malek Md Daud berkata, kerajaan negeri sebelum ini menyarankan sebarang perbincangan mengenai pengosongan tanah dilakukan secara berhemah dan melibatkan semua pihak berkepentingan. – UTUSAN