PETALING JAYA: Pengarah Jangan Pandang Belakang 2, Pierre Andre, mendedahkan dia tidak terkecuali berdepan gangguan makhluk halus sepanjang penggambaran filem tersebut dijalankan.
Cerita sutradara kelahiran Kuala Lumpur itu, antara paling menyeramkan adalah kemunculan suara aneh ketika penggambaran babak awal filem itu dilakukan.
“Saya dengar suara perempuan mengilai ketika watak Mak Lang (lakonan Khatijah Tan) mendirikan solat, dirakamkan.
“Selepas babak itu selesai dirakam, saya minta ia diulang semula kerana saya khuatir suara itu turut sama direkodkan.
“Namun menghairankan saya apabila penolong pengarah dan penjaga audio memaklumkan mereka tidak mendengar suara itu,” katanya yang mengakui berasa seram apabila menceritakan semula pengalaman itu.
Pierre berkongsi cerita pada malam gala dan sidang media filem tersebut, baru-baru ini.
Turut hadir adalah barisan pelakon termasuk Khatijah Tan, Emma Maembong, Iedil Dzuhrie, Alif Hadi dan ramai lagi.
Bercerita lanjut, Pierre turut menyifatkan salah sebuah lokasi penggambaran filem itu, iaitu sebuah rumah contoh yang dibina di Wetland Putrajaya, sebagai ‘keras’.
“Pada saya rumah itu, yang bukan dibina untuk didiami, sangat bermasalah. Ibu saya juga puas diganggu makhluk halus ketika penggambaran di sana.
“Rumah itu didirikan betul-betul sebelah tasik yang dihuni banyak buaya,” jelasnya.
Pierre dalam masa yang sama meluahkan rasa gembira dengan komitmen dan kualiti kerja yang diberikan seluruh tenaga produksi filem tersebut.
Katanya, itu antara sebab mengapa penonton perlu hadir menonton filem itu di pawagam.
“Saya sangat berpuas hati dengan hasil kerja seluruh produksi. Antaranya rekaan set penggambaran seperti di rumah tinggal yang pada saya, mengagumkan.
“Visual dan audio filem ini juga memuaskan. Contoh, Pengarah Fotografi faham kemahuan saya yang inginkan mood seram dalam filem ini, bukan semata-mata tunjuk hantu dan sebagainya.
“Daripada segi pencahayaan, pergerakan kamera dan rakaman akan menimbulkan perasaan serama kepada audiens. Ini yang saya mahukan, jadi penonton kena tengok filem ini,” kongsinya.
Jangan Pandang Belakang 2 terbitan MIG Pictures Sdn Bhd mula menghantui pawagam pada 21 November lepas.