KERJA gila ibarat ‘melawan’ kesakitan, pelakon, Syafie Naswip, mengambil risiko berlepas ke Bario, Sarawak walaupun baru sahaja empat hari menjalani pembedahan apendiks.
Syafie melawan sakit yang belum pulih sepenuhnya demi memenuhi komitmen penggambaran filem Tegkang tahun lalu.
“Sebenarnya doktor minta saya rehat sebulan dan duduk di hospital paling kurang seminggu.
“Tapi saya kata pada doktor, ini tuntutan pekerjaan. Kalau saya cuti akan menjejaskan jadual ramai orang.
“Namun penggambaran dalam keadaan sakit sangat mencabar kerana saya banyak adegan perlu berjalan, naik gunung dengan meredah lecak.
“Luka saya sudah terbuka, bernanah dan merebak ke tempat yang tidak sepatutnya menyebabkan saya demam panas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagi memastikan wajahnya di hadapan kamera tidak kelihatan sakit, Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin 2007, itu akan pergi mendapatkan suntikan di klinik setiap hari sebelum memulakan penggambaran.
“Saya perlu ambil suntikan di klinik pukul lapan pagi dan berehat sampai pukul 10. Selepas itu baru saya sedia untuk lakukan penggambaran.
“Ada ketika saya sudah tidak larat berlakon, dalam kepala sudah nampak katil dan ubat manakala kaki sudah menggigil, tapi kena teruskan juga.
“Sebenarnya ketika di Bario pun saya perlu dapatkan rawatan di Miri. Doktor cakap kalau saya teruskan akan sangat berisiko.
“Saya teruskan juga penggambaran kerana enggan mengganggu jadual. Lagi pula kalau saya sudah tanamkan dalam fikiran untuk berlakon tiga bulan, saya tidak mahu berlama-lama,” tambahnya
.
Papar keindahan Kelabit, Bario
Bercerita lanjut mengenai filem Tegkang, Syafie yang lebih mesra disapa sebagai Ayie berbangga kerana dapat menampilkan keunikan kaum Kelabit menerusi filem ini.
“Selama ini kita tidak tahu tentang orang-orang Kelabit. Rupaanya mereka lebih ke hadapan dan fasih bertutur bahasa Inggeris.
“Semangat mereka pula kuat. Bayangkan walaupun sudah berumur 70-an, mereka akan ke sawah manakala sebelah malam berlakon bersama kami.
“Saya terinspirasi kerana mereka boleh mahir berlakon dan ingat dialog dalam tempoh empat hari sahaja,” jelasnya.
Bukan itu sahaja, Ayie menganggap naskhah ini begitu istimewa memandangkan ini adalah hasil tulisan dan arahan sahabatnya, Josh Nawan.
“Saya sudah mengenali Josh sejak 2019. Jadi ketika dia tawarkan peluang ini, saya memang tidak mahu lepaskan peluang,” katanya.
“Tambahan pula Bario tempat yang cantik, saya akan datang semula,” jelasnya.
Filem Tekang bakal menemui penonton 28 November ini.