DBKL kena semak latar pemaju projek pembangunan - Johari

DBKL kena semak latar pemaju projek pembangunan – Johari

JOHARI Abdul Ghani ketika ditemui pemberita pada Program Santuni Madani oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di Masjid Al-Aqram, Kampung Datuk Keramat, di sini hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu memastikan mana-mana pemaju yang mahu membangunkan projek perlu memenuhi kriteria ditetapkan termasuk kemampuan dari segi kewangan.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, beliau mengambil contoh Pasar Datuk Keramat yang gagal dibangunkan selepas lebih enam tahun sekali gus terdedah kepada pelbagai masalah termasuk kerosakan infrastruktur.

Katanya, DBKL perlu memastikan terlebih dahulu latar belakang pemaju di samping kedudukan syarikat terlibat.

“Saya sudah pesan kepada DBKL, pada masa hadapan mana-mana orang hendak ambil tanah di Kuala Lumpur kena semak latar belakang syarikat tersebut.

“Kedua, adalah kedudukan kewangan. Nombor tiga, adalah soal bagaimana mengendalikan soal pemindahan di kawasan terlibat.

“Kalau tiga-tiga kriteria ini tidak dipenuhi, tidak boleh bagi tanah, sebabnya jadilah masalah dihadapi ini (Pasar Datuk Keramat). Sudah enam tahun lebih dia (pemaju) tidak berbuat apa-apa. Apabila berlaku kerosakan, nak suruh DBKL, DBKL cakap bukan tanah mereka lagi. 

“Jadi, berharap pada masa akan datang apa-apa tanah yang dibangunkan kena penuhi kriteria ini,” katanya ketika ditemui selepas Program Santuni Madani di Masjid Al-Akram, Datuk Keramat di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pasar Datuk Keramat mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa DBKL menyelesaikan kemelut pembangunan semula Pasar Datuk Keramat yang dilihat daif dan sudah tertangguh sejak enam tahun lalu.

Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, projek pembangunan Pasar Datuk Keramat sepatutnya dilaksanakan oleh pemaju tersebut, namun mereka gagal menyelesaikan isu berbangkit termasuk pemindahan para peniaga.

“Hendak menyelesaikan masalah pasar pun tidak boleh selesai. Kita tidak boleh buat projek pembangunan, nak halau peniaga yang lebih 30 hingga 40 tahuh berniaga di situ.

“Jadi, kena situasi menang-menang. Sebab itu saya tekankan dalam soal ini,” katanya.

Kata Johari, mana-mana pemaju yang berhasrat membangunkan Pasar Datuk Keramat bukan sahaja dilihat daripada kemampuan syarikat, namun perlu mengambil kira masa depan para peniaga terlibat.

Dalam pada itu, Johari memberitahu, DBKL telah mengambil tanah Pasar Datuk Keramat daripada pemaju tersebut dengan duit telah dipulangkan sebab mereka tidak boleh membayar dan melaksanakan projek.

Katanya, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah melawat pasar tersebut baru-baru ini untuk melihat dari segi penambahbaikan dan penyelengaraan segera.

“Saya telah menunggu maklum balas daripada mereka,” katanya.

Sementara itu, Johari dalam ucapannya berkata, kerajaan perlu mengambil kira pembangunan kampung dalam bandar termasuk Kampung Baru dan Kampung Datuk Keramat khususnya daripada prasarana dan kemudahan jalan raya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya