KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melancarkan Dasar Kanak-Kanak Negara baharu untuk memastikan suara kanak-kanak didengar dan diambil kira.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, dasar tersebut merupakan langkah memperkukuh usaha menjaga kebajikan kanak-kanak.
Menurut beliau, selain itu ia juga memberi tumpuan kepada aspek perlindungan kanak-kanak daripada keganasan, eksploitasi dan pengabaian
“Antara fokus lain dasar itu adalah perkembangan holistik dari segi fizikal, emosi, mental dan kerohanian.
“Selain itu, ia turut memfokuskan kepada penyertaan kanak-kanak dalam proses membuat keputusan yang mempengaruhi kehidupan mereka,” kata beliau ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan 2024 bertemakan ‘Dengarlah Suara Kami’ di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.
Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Dalam pada itu, Nancy berkata, KPWKM akan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) bagi memberi perlindungan kepada kanak-kanak dengan persekitaran selamat.
Ia berikutan pengalaman mengendalikan kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global membabitkan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) sebelum ini.
Nancy menyifatkan pengalaman tersebut sebagai satu bentuk pengurusan risiko yang memerlukan tindakan segera.
Menurut beliau, pihaknya terus mengambil tindakan dengan menilai keperluan dari segi aset dan penempatan kanak-kanak yang terlibat.
“Dalam kes ini, pihak polis tiada bidang kuasa melindungi kanak-kanak yang diselamatkan (dalam Op Global).
“Jadi, kami perlu menyusun atur dan memindahkan mereka ke tempat perlindungan yang digazet dengan memastikan kelengkapan mereka seperti katil mencukupi selain persekitaran yang selamat,” katanya.- UTUSAN