BUKIT MERTAJAM: “Pernah sampai satu tahap, saya rasa seperti mahu bunuh diri sahaja kerana kecewa. Tapi, Alhamdulillah, saya tak buat benda itu semua kerana saya tahu masalah saya takkan selesai sampai bila-bila.”
Luah Mohd. Razwil Abdullah, 40, berkongsi pengalaman pahit memiliki status warga bukan negara selama hampir empat dekad walaupun dilahirkan di negara ini.
Sepanjang tempoh itu jugalah dia berhadapan dengan pelbagai rintangan dan masalah seperti tidak mendapat akses ke alam pekerjaan yang stabil, sukar mendirikan rumah tangga, membuat transaksi bank serta dilayan seperti warga asing di negara sendiri.
Lebih malang katanya, dia pernah ditahan polis dan terpaksa bermalam di dalam lokap semata-mata kad pengenalan sementara milikinya, tamat tempoh selain sering dipandang serong lantaran memiliki kad pengenalan berwarna hijau.
Bagaimanapun, nasib malang peniaga minuman ini berubah apabila dia bertindak menularkan sendiri kisahnya itu di media sosial lalu mendapat liputan sebuah akhbar tempatan kira-kira lima tahun lalu.
“Saya buat keputusan untuk mencari seorang wanita iaitu Rohaida Abdul Rashid kerana saya diberitahu, dia adalah individu pertama yang menjumpai saya ketika saya dibuang berdekatan tong sampah di Chow Kit, Kuala Lumpur selepas dilahirkan.
“Alhamdulillah, saya berjaya berjumpa semula dengan wanita itu dan dia bersetuju mengeluarkan satu afidavit (kenyataan sumpah bertulis) untuk menyokong permohonan saya (sebagai warga negara),” katanya dalam sidang akhbar dengan ditemani peguam, Habib Rahman Seeni Mohideen.
Tambah Mohd. Razwil, walaupun Rohaida menjaganya selama beberapa bulan sebelum diserahkan kepada rumah kebajikan, seterusnya rumah kanak-kanak sehingga dewasa, namun dia amat menghargai jasa wanita itu menyelamatkannya ketika dia dibuang dalam keadaan masih bertali pusat.
“Sebelum ini, saya cuma ada sijil lahir tapi dengan taraf kewarganegaraan sebagai bukan warganegara daripada JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) selain kad pengenalan sementara juga dengan taraf sebagai bukan warganegara. Kad itu bagaimanapun akan luput pada tarikh 4 April 2026,” ujarnya yang bekerja sebagai seorang peniaga minuman.
Apabila Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menerusi Hakim Datuk Quay Chew Soon pada 14 November lalu, memutuskan yang dia layak menerima status sebagai warganegara selepas empat dekad menunggu, Mohd. Razwil adalah insan paling gembira ketika ini.
“Saya bersyukur dengan keputusan itu. Banyak perkara saya boleh buat bila ada kad pengenalan biru. Walaupun umur saya sudah cecah 40 tahun, rasanya belum terlambat mulakan kehidupan baru,” katanya.
Sementara itu, Habib Rahman memberitahu, susulan keputusan tersebut, mahkamah turut mengarahkan JPN mengeluarkan sijil baharu sebagai bukti bahawa Mohd. Razwil merupakan seorang warganegara dalam tempoh 14 hari bermula semalam. – UTUSAN