PETALING JAYA: Dakwaan Ketua Pengarah Kastam (KPK), Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin menyalahgunakan peruntukan kerajaan untuk bercuti di Bangkok, Thailand baru-baru ini adalah fitnah tidak berasas.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam satu kenyataan menafikan hantaran tular berkenaan dan dakwaan menyatakan Anis Rizana bercuti bersama keluarga dengan menaiki penerbangan Kelas Perniagaan.
“Dimaklumkan bahawa pengambilan cuti KPK selama dua hari, iaitu pada 30 Oktober 2024 dan 1 November lalu telah diluluskan Datuk Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) selaku Pegawai Pengawal JKDM melalui Sistem HRMIS, selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia – Kemudahan Cuti, Ceraian SR.5.1.1.
“Beliau juga meluluskan permohonan KPK ke luar negara atas urusan peribadi mengikut Surat Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 2012, Peraturan Perjalanan Pegawai Awam ke Luar Negara atas Urusan Persendirian,” kata kenyataan itu.
Kata kenyataan itu, tiada sebarang peruntukan jabatan digunakan untuk membayar kos penerbangan atau penginapan atau sebarang kos lain yang berkaitan.
“Tiada peruntukan digunakan untuk perjalanan KPK dan keluarga ke Bangkok seperti yang ditohmah di platform media berkenaan.
“Segala kos sepanjang lawatan peribadi tersebut ditanggung sepenuhnya oleh KPK sendiri,” jelasnya.
Menurut kenyataan itu, semasa KPK berada di Bangkok atas urusan peribadi, beliau telah mengambil peluang untuk menghadiri Kejohanan Tinju Antarabangsa.
“Ini bagi menyokong dan memberi semangat kepada warga JKDM iaitu Adli Hafidz yang mewakili Malaysia dan memenangi kejohanan antarabangsa tersebut dan mengharumkan nama negara.
“Adalah menjadi amalan KPK untuk sering memberi sokongan yang padu serta semangat kepada warga JKDM dalam mencapai kejayaan yang cemerlang,” jelasnya.
Tambah kenyataan itu, dengan penjelasan ini diharap sebarang kekeliruan atau spekulasi yang tidak berasas dapat dihentikan. – UTUSAN