KUALA LUMPUR: Pemimpin-pemimpin DAP mencabar Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim mengulangi kenyataan bahawa terdapat pemimpin parti itu terlibat dengan rasuah di luar Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N Rayer berkata, pemimpin daripada Pas itu tidak seharusnya menggunakan kekebalan Dewan Rakyat untuk membuat tuduhan-tuduhan yang tidak berasas.
Justeru, beliau menggesa Awang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya dakwaan pemimpin tersebut benar-benar berlaku.
“Dalam perbahasan beliau (Awang) telah menyatakan bahawa terdapat kejadian yang mana jumlah wang sebanyak RM9.4 juta telah dijumpai dalam rumah seorang Menteri Sumber Manusia yang juga merupakan ahli DAP.
“Saya mencabar beliau untuk menamakan menteri berkenaan dan pada masa sama jika benar, mengeluarkan kenyataan itu di luar Dewan Rakyat supaya tidak menggunakan kekebalan Dewan untuk membuat tuduhan-tuduhan tidak berasas serta liar,” katanya dalam sidang aklhbar di Pusat Media, Bangunan Parlimen, hari ini.
Terdahulu, Awang semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 mempersoal siasatan terhadap bekas Menteri daripada DAP yang dibuat SPRM.
“Begitu juga dengan kes RM94 juta yang mana didapati di sebuah menteri DAP dijumpai RM94 juta sampai sekarang kita tidak tahu setakat mana siasatan telah dibuat dalam Kementerian Sumber Manusia.
“Bila sebut sahaja pasal DAP, dia terus meletup (marah), dia (Rayer) ingat DAP ini malaikat yang suci,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kapar, Chong Zhemin berkata, tidak ada berita atau kenyataan yang dikeluarkan berkait dengan pemimpin DAP sepertimana didakwa Awang.
“Saya google dan dapat berita bahawa SPRM telah mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang rumahnya terdapat RM5 juta, jadi saya tidak tahu Awang (dapat dari mana), mana ada berita (tentang) pemimpin DAP simpan RM9.4 juta,” katanya. – UTUSAN