KUALA LUMPUR: Seramai 14 individu yang didakwa atas tuduhan menculik lelaki warga Palestin bagi mendapatkan maklumat rahsia, berjaya dalam permohonan mereka untuk dibebaskan dengan jaminan.
Hakim Mahkamah Tinggi, K. Muniandy memutuskan agar kesemua tertuduh masing-masing dibebaskan dengan jaminan RM50,000 dengan dua penjamin selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat.
Mahkamah turut mengenakan beberapa syarat tambahan kepada tertuduh-tertuduh iaitu perlu melapor diri ke balai polis berdekatan kediaman masing-masing pada setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
“Setiap tertuduh dikenakan perintah larangan bersuara dan dihalang daripada mengulas kes itu dalam mana-mana penerbitan termasuk media sosial.
“Setiap tertuduh diingatkan supaya tidak membuat sebarang komunikasi dengan saksi pendakwaan, sama ada sengaja atau tidak dan mana-mana individu lain yang mungkin ada kaitan atau tidak dengan kesalahan yang didakwa.
“Sebarang bentuk pelanggaran syarat jaminan yang dikenakan akan memberi hak kepada mahkamah ini untuk membatalkan jaminan itu sekaligus,” kata hakim itu.
Mahkamah kemudian menetapkan 23 Januari 2025 bagi sebutan semula kes. Kes itu juga ditetapkan untuk perbicaraan bermula 7 Julai 2025.
Pada Oktober 2022, semua tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan secara niat bersama menahan Omar Z. M. Albelbaisy Raeda, 31, untuk mendapat ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Mayang di sini, pada pukul 10.40 malam, 28 September 2022.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun sehingga maksimum 40 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini peguam Norma Goh Kim Lian mewakili 10 tertuduh iaitu Mohamad Norakmal Hassan, 43; Dody Junaidi, 44; Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 41; Mohamad Naziree Mustapha, 41; Faizull Hardey Mohd Isa, 42; Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 27; Mohamad Sufian Saly, 25; Mohd Zaidi Mohd Zain, 56; Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 51 dan Mohd. Azwan Jamaludin, 39.
Sementara peguam, Muhammad Amin Abdullah mewakili Nidarahayu Zainal, 36; peguam Wan Muhd. Ariff Ameer Wan Normazlan bertindak bagi pihak Raibafie Amdan, 41; Adi Zulkarnain Zulkafli untuk Muhammad Al Hatim Mohd. Fauzi; 25, dan peguam Kelvinder Singh bagi Edy Ko’im Said, 42.
Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Badius Zaman Ahmad.
Pada 5 Oktober 2022, media melaporkan seorang lelaki warga Palestin yang diculik menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) berjaya diselamatkan dalam kejadian pada 28 September tahun sama.
Mangsa dipercayai ahli perniagaan itu berjaya diselamatkan menerusi serbuan berasingan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 29 September 2022. – UTUSAN