KUALA LUMPUR: Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle), sebagai agensi fokal untuk ekosistem startup Malaysia, telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kapital DX Sdn Bhd (KLDX), bursa sekuriti digital Malaysia bagi menyediakan saluran pembiayaan alternatif untuk startup Malaysia.
Kerjasama ini menawarkan fleksibiliti yang lebih besar kepada startup dalam memilih pembiayaan yang sesuai dengan keperluan unik mereka, membolehkan syarikat yang mungkin tidak menarik perhatian firma modal teroka (VC) tempatan untuk mendapatkan pembiayaan melalui platform KLDX.
Kerjasama strategik ini merupakan inisiatif utama di bawah Program Fund Funnel oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Program ini bertujuan untuk menangani salah satu cabaran utama dalam ekosistem startup Malaysia, iaitu kekurangan kesinambungan kewangan dari peringkat awal hingga peringkat pertumbuhan seterusnya.
Jurang ini dikenal pasti sebagai penghalang utama kepada pertumbuhan seperti yang dinyatakan dalam Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030.
Mengulas mengenai MoU ini, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan berkata, Kerjasama antara Cradle dan KLDX membuktikan komitmen kami untuk membangunkan ekosistem startup yang mampan di Malaysia.
Program Fund Funnel diwujudkan untuk menangani jurang pembiayaan yang kritikal dalam ekosistem ini, memastikan startup mempunyai akses berterusan kepada modal dari peringkat awal sehingga fasa pertumbuhan mereka.
Dengan menyediakan pilihan pembiyaan alternatif, kita memberi peluang kepada startup untuk berkembang sekaligus merealsisasikan hasrat Malaysia untuk berada dalam 20 ekosistem startup terbaik dunia menjelang tahun 2030. MOSTI komited untuk menyokong kerjasama yang memacu aspirasi nasional ini,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke menekankan, kerjasama kami dengan KLDX mencerminkan komitmen Cradle dalam memupuk dan membangunkan ekosistem startup Malaysia.
Dengan pengalaman luas dalam membiayai startup peringkat awal, Cradle memahami keperluan kritikal untuk akses modal yang berterusan apabila syarikat berkembang.
Melalui KLDX, kami memperkenalkan pilihan pembiayaan inovatif yang memberikan fleksibiliti yang diperlukan untuk pertumbuhan dan inovasi. Kami berbesar hati menawarkan kepada alumni kami dan startup di seluruh Malaysia sebagai alternatif kukuh kepada pembiayaan VC tradisional.”
Ketua Pegawai Eksekutif KLDX, Selvarany Rasiah berkata, kami teruja untuk bekerjasama dengan Cradle dalam mencipta laluan transformasi untuk startup dan PKS Malaysia dalam mengakses pembiayaan alternatif melalui platform KLDX,” katanya.
Kerjasama ini adalah langkah signifikan bagi menutup jurang pembiayaan yang telah dikenal pasti dalam ekosistem startup dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia. Platform kami membolehkan syarikat mendapatkan modal yang mereka perlukan untuk berinovasi, berkembang, dan bersiap sedia untuk kejayaan jangka panjang, termasuk potensi untuk IPO.
Dengan menawarkan pilihan pembiayaan yang fleksibel, KLDX dan Cradle memperkasakan startup Malaysia untuk berkembang secara mampan dan menyumbang kepada visi negara menjadi peneraju global dalam landskap startup.”
Di bawah intervensi kedua SUPER, terdapat keperluan mendesak untuk merombak rangka kerja tarikan pelaburan bagi meningkatkan keberkesanannya dan menarik pelaburan berkualiti tinggi. Kerjasama antara Cradle dan KLDX secara langsung menangani isu ini dengan mewujudkan laluan pembiayaan yang lebih tersusun dan bersepadu untuk startup, memastikan peralihan yang lebih lancar dari pelaburan peringkat awal ke peringkat pertumbuhan seterusnya.
MoU ini menumpukan pada menangani jurang pembiayaan di peringat Siri A dan seterusnya, yang sering menjadi cabaran untuk diperoleh dalam ekosistem tempatan Malaysia. Kerjasama ini bertujuan untuk merapatkan jurang tersebut, menyokong startup dalam peralihan dari pembiayaan awal kepada pertumbuhan berterusan, dan akhirnya ke tahap bersedia untuk tawaran awam permulaan (IPO).
Cradle akan secara aktif mempromosikan platform KLDX kepada rangkaian alumninya, menawarkan laluan alternatif untuk mendapatkan pembiayaan dan merapatkan jurang kewangan pada peringkat pertumbuhan kritikal. Selain itu, platform KLDX akan dapat diakses melalui platform Tetingkap Tunggal MYStartup, menyediakan akses mudah kepada penyelesaian pembiayaan untuk startup Malaysia.
Untuk maklumat lanjut mengenai ekosistem startup Malaysia, sila layari www.mystartup.gov.my dan sertai kami dalam memacu inovasi ke hadapan. – UTUSAN