PETALING JAYA: Institut Pengurusan Berkanun (CMI) menyambut baik cadangan kerajaan Johor memendekkan masa kerja kepada empat hari setengah seminggu bagi kakitangan kerajaan negeri.
Ketua Pegawai Eksekutif CMI, Ann Francke berkata, Johor memfokuskan penambahbaikan dalam penyampaian perkhidmatan sebelum melaksanakan minggu kerja lebih pendek sekali gus menunjukkan perancangan pengurusan yang berkesan.
“Johor berhasrat untuk memperkenalkan pengaturan kerja fleksibel dengan cara yang boleh memastikan kualiti perkhidmatan kekal tinggi.
“Kerajaan negeri itu memberi tumpuan untuk mengembangkan perkhidmatan digital dan melanjutkan waktu operasi kaunter sebelum komited kepada minggu kerja lebih pendek sambil mengekalkan jumlah jam bekerja yang sama.
“Komitmen Johor untuk memperbaiki penyampaian perkhidmatan terlebih dahulu menunjukkan pemikiran pengurusan yang berkesan dan sangat diperlukan untuk perubahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pendekatan yang signifikan meningkatkan kemungkinan kejayaan seperti di United Kingdom (UK) yang melaksanakan pelbagai dasar kerja fleksibel termasuk minggu kerja yang lebih pendek.
Dalam pada itu, beliau menekankan kejayaan perubahan bergantung kepada pelaksanaan yang berkesan, bukan sahaja dipimpin oleh pemimpin atasan, tetapi juga pengurus di setiap peringkat.
“Peralihan yang cekap memerlukan pengurus yang lebih baik dan boleh memimpin perubahan sambil mengekalkan kecemerlangan perkhidmatan,” katanya. – UTUSAN