PETALING JAYA: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menarik balik serta-merta buku panduan Quality Guidebook for Homeowners yang diterbitkan pada 2014 bagi mengelak salah faham berterusan.
CIDB dalam satu kenyataan memaklumkan, buku panduan tersebut telah disalah tafsir sebagai spesifikasi kecacatan dan mengakibatkan kekeliruan.
Justeru, jelas CIDB, mana-mana salinan atau petikan daripada buku panduan tersebut adalah tidak lagi boleh digunakan dan menjadi tidak sah.
“CIDB telah menerbitkan Quality Guidebook for Homeowners pada tahun 2014 untuk meningkatkan kesedaran pemilik rumah mengenai kualiti hasil kerja binaan dalam pembinaan bangunan.
“Buku panduan tersebut bertujuan mendidik pemilik rumah dan pada masa sama mempromosikan penilaian kualiti menggunakan Quality Assessment System for Building Construction Work yang berpandukan Standard Industri Pembinaan (CIS 7).
“Namun begitu, buku panduan tersebut telah disalah tafsir sebagai spesifikasi kecacatan dan mengakibatkan kekeliruan. Bagi mengelak salah faham berterusan, CIDB mengambil keputusan untuk menarik balik Quality Guidebook for Homeowners berkuat kuasa serta merta.
“Oleh demikian, mana-mana salinan atau petikan daripada buku panduan tersebut adalah tidak lagi boleh digunakan dan menjadi tidak sah,” kata CIDB dalam kenyataan itu, hari ini.
Menurut CIDB, keputusan berkenaan tidak menjejaskan CIS 7 yang kekal sebagai satu piawaian utama digunakan untuk menilai kualiti hasil kerja dalam projek pembinaan melalui QLASSIC™.
Katanya, sistem penilaian QLASSIC™ meliputi kemasan seni bina, kelengkapan asas mekanikal dan elektrikal (M&E) dan kerja luaran melalui ujian lapangan dan pensampelan.
“Dokumen CIS 7 dengan jelas menyatakan bahawa piawaian itu bertujuan semata-mata untuk tujuan penarafan kualiti dan bukan untuk digunakan sebagai spesifikasi untuk kecacatan.
“Penilaian QLASSIC™ tidak dimaksudkan untuk kegunaan penilaian kualiti rumah unit tunggal. Sebaliknya, ia digunakan untuk mengukur kualiti keseluruhan mutu kerja sesuatu projek perumahan melalui penilaian kualiti yang dilakukan dengan persampelan rawak,” kata CIDB.
Bagaimanapun kata CIDB, dengan mengambil kira kegusaran pemilik rumah mengenai isu kualiti pembinaan, satu jawatankuasa terdiri daripada pihak berkepentingan industri akan dibentuk serta-merta untuk membangunkan garis panduan standard mengenai mutu kerja. – UTUSAN