PETALING JAYA: Malaysia sifatkan China sebagai suara baharu dunia selatan dan di peringkat antarabangsa yang menyuarakan kemaslahatan manusia sejagat.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, visi Presiden China, Xi Jinping untuk keselamatan dan pembangunan global khususnya dalam ucapannya pada Persidangan BRICS (Brazil, Russia, India, China, Afrika Selatan) di Kazan, Russia baru-baru ini disifatkan sebagai amat bernas.
Menurut Perdana Menteri, beliau sering menekankan peranan unik dimainkan Jinping dalam menyuarakan soal nilai dan peradaban yang tidak pernah diperkatakan oleh pemimpin lain.
Pada masa sama, beliau turut menyatakan penghargaan kepada China apabila memberi sokongan terhadap Malaysia untuk menjadi negara rakan BRICS.
“Perkara ini menunjukkan semangatnya adalah untuk rakyatnya, golongan miskin dan juga kemanusiaan sejagat.
“Oleh kerana itu, kami memilih untuk melihat anda bukan semata-mata pemimpin China malah suara baharu dunia selatan dan di peringkat antarabangsa,” katanya dalam ucapan pembukaan pada kunjungan hormat ke atas pemimpin tertinggi China itu hari ini.
Perdana Menteri berkata, beliau melihat visi Jinping adalah untuk berkongsikan masa depan yang tidak banyak negara maju dan kaya laksanakan.
“Anda mahu kejayaan China difahami dan dikongsikan oleh masyarakat antarabangsa,” katanya.
Dalam kunjungan itu, Anwar turut membincangkan peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN yang akan datang serta hubungan serantau yang semakin erat dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China.
Beliau menekankan pencapaian penting dalam usaha diplomatik ASEAN membabitkan kerjasama ASEAN, GCC dan China yang akan memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan perdagangan dan kerjasama global.
Perdana Menteri mengakhiri capannya dengan melahirkan keyakinan terhadap kejayaan inisiatif masa depan ASEAN dengan penglibatan China sebagai sesuatu yang penting untuk menjamin kemakmuran rantau ini.
“Saya dengan gembira menyatakan bahawa ahli ASEAN, pemimpinnya, secara konsensus melibatkan 10 negara bersetuju dengan perkara ini.
“Kami menantikan kehadiran anda kerana ia penting untuk memastikan kejayaan ASEAN yang akan diadakan di Malaysia tahun depan,” katanya. – UTUSAN