KUALA TERENGGANU : Bekas Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid, 58, hari ini dilantik sebagai Ahli Dewan Negara baharu bagi mewakili negeri Terengganu untuk tempoh tiga tahun.
Pelantikan Yang Dipertua Pas Kemaman itu sebagai Senator adalah untuk menggantikan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Husain Awang yang tamat tempoh selepas dilantik selama dua penggal mulai tahun 2018.
Cadangan nama Che Alias itu dikemukakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Datuk Mohd. Nor Hamzah berkata, cadangan itu disokong Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun.
“Dengan ini saya mengisytiharkan Che Alias dari Kemasik, Kemaman untuk dipilih sebagai Ahli Dewan Negara setelah mendapat undian sebulat suara dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua DUN Ke-15, hari ini.
“Saya ucapkan tahniah dan syabas serta selamat menjalankan tugas kepada Che Alias.
Sementara itu, Che Alias ketika ditemui pemberita mengucapkan kesyukuran atas pelantikan tersebut dan berjanji akan memberi khidmat terbaik untuk manfaat rakyat dengan amanah yang dipertanggungjawabkan. – UTUSAN