Cegah penyalahgunaan vape mengandungi dadah

Cegah penyalahgunaan vape mengandungi dadah

PENULARAN penggunaan dadah yang bersembunyi di sebalik produk vape ini bukan sahaja menjejaskan masa depan generasi muda malah menimbulkan ancaman besar kepada kesihatan awam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penggunaan rokok elektronik atau vape yang mengandungi dadah perlu dicegah serta merta bagi membendung penyalahgunaan alat itu khususnya dalam kalangan belia.

Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Ridhwan Rosli berkata, langkah itu dilihat penting bagi menangani isu penyalahgunaan vape yang semakin berleluasa termasuk sebagai alat pengambilan dadah.

Menurut beliau, pihak berkaitan perlu mengambil tindakan drastik dengan memperkenalkan undang-undang yang lebih ketat sekali gus memastikan penguatkuasaan dijalankan secara tegas.

“Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang diperkenalkan sepatutnya menjadi langkah pencegahan utama, namun penguatkuasaannya masih lemah.

“Walaupun vape telah diharamkan untuk remaja bawah 18 tahun, kelonggaran penguatkuasaan memberikan impak buruk kepada industri.

“Penyalahgunaan vape untuk pengambilan dadah mesti diharamkan dan dicegah serta-merta. Kerajaan perlu memastikan semua pihak terlibat bekerjasama dalam memastikan matlamat ini tercapai,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Kelmarin, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyarankan agar penggunaan rokok elektronik atau vape diharamkan secara total.

Mengulas pengharaman rokok elektronik secara total, Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, tindakan itu boleh mendatangkan pelbagai implikasi khususnya terhadap golongan yang menggunakan vape sebagai alat untuk berhenti merokok.

Katanya, larangan itu berkemungkinan mendorong kepada peningkatan pasaran gelap bagi produk vape haram yang tidak berkualiti dan mengandungi bahan berbahaya.

“Negara seperti India dan Australia telah cuba untuk mengharamkan vape tetapi ia hanya membawa kepada lambakan vape haram di pasaran. Malaysia juga mungkin menghadapi situasi sama jika tidak mengambil langkah kawalan yang berkesan.

“Ramai perokok sedang beralih kepada vape untuk mengurangkan ketagihan nikotin. Jika vape diharamkan, mereka mungkin kembali kepada rokok atau produk lain yang lebih berbahaya,” katanya.

Menurut Sharifa, kawalan ketat dan pemantauan lebih efektif diperlukan bagi mengurangkan isu vape haram dan penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat.

Katanya, usaha mendidik masyarakat khususnya dalam kalangan pelajar sekolah mengenai bahaya vape dan bahan terlarang, perlu dipertingkatkan sebagai langkah awal pencegahan.

“Kanak-kanak dan remaja sering terjebak dengan vape kerana ingin mencuba sama seperti fenomena rokok pada masa lalu. Kini, trend seperti penggunaan inhaler dengan bahan berperisa yang berpotensi dicampur dengan dadah, juga semakin membimbangkan.

“Langkah terbaik ialah mengawal penggunaan vape bukan sahaja melalui peraturan tetapi juga menerusi kempen kesedaran. Jika tidak, kita mungkin akan berdepan fenomena baharu yang lebih mencabar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya