Carrey Farjerry bukan kerabat Kelantan

Carrey Farjerry bukan kerabat Kelantan

TUNKU Mohammed Nazarin Tunku Yusoff (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, hari ini. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pertubuhan Kerabat Diraja Kelantan menafikan sekeras-kerasnya pemilik akaun TikTok bernama Carrey Farjerry sebagai ahli kerabat dan tiada sebarang kaitan dengan Istana Kelantan.

Ahli Jawatankuasanya, Tunku Mohammed Nazarin Tunku Yusoff berkata, terdapat komen oleh beberapa pengikut lelaki itu di bawah satu hantaran yang mengaitkannya yang juga ahli perniagaan itu dengan keluarga diraja Kelantan.

Menurutnya, Pertubuhan Kerabat Diraja Kelantan bimbang ia akan mendatangkan kesan kepada imej kerabat.

“Perlu dijelaskan bahawa Carrey Farjerry sendiri tidak mendakwa dirinya kerabat diraja Kelantan, tetapi beberapa pengikutnya mengatakan dia adalah kerabat diraja iaitu sepupu Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dan anak saudara Raja Perempuan Tengku Anis Almarhum Tengku Abdul Hamid.

“Bagaimanapun, Carrey Farjerry tidak mengambil apa-apa tindakan untuk menafikan perkara itu. Jadi, hari ini kami membuat laporan polis untuk menyatakan dia bukan ahli Pertubuhan Kerabat Diraja Kelantan dan tiada sebarang kaitan dengan Istana Kelantan,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Tunku Mohammed Nazarin memberitahu, Pertubuhan Kerabat Diraja Kelantan merupakan sebuah pertubuhan yang aktif dan telah membuat semakan keahliannya apabila menyedari kemunculan komen-komen berkenaan pada hantaran-hantaran di akaun tiktok tersebut.

Katanya, hasil semakan mendapati, nama Carrey Farjerry sememangnya tidak tersenarai sebagai ahli pertubuhan kerabat diraja dan dia bukan kerabat kepada mana-mana keluarga diraja.

“Kami tidak kisah dengan usahanya untuk membantu enam individu yang ditangkap di Golok, Thailand berkaitan kes dadah itu, tetapi tidak mahu pertubuhan dan Istana Kelantan terkait kes tersebut. Dia mahu bantu, bantulah, tetapi jangan kaitkan dengan kerabat dan istana Kelantan.

“Jadi, kita harap Carrey Farjerry dapat memperbetulkan keadaan kerana ramai pengikutnya sudah menganggap dia benar-benar kerabat diraja Kelantan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya