GEORGE TOWN: Kementerian Kesihatan (KKM) disaran mendengar dan menjunjung titah perintah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu penggunaan rokok elektronik atau vape diharamkan secara total.
Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subbarow berkata, dalam hal ini, pihaknya menyambut baik saranan Sultan Pahang itu memandangkan apa yang dititahkan baginda merupakan sebahagian daripada perjuangan CAP selama ini.
“Kami (CAP) sangat gembira dengan titah Sultan Pahang dan inilah berita yang kami, ibu bapa serta guru-guru sekolah tunggu.
“Masalah vape itu bukan sahaja (berlaku) di Pahang, tetapi, di seluruh negara. CAP harap KKM mendengar titah Sultan Pahang untuk menyelamatkan nyawa generasi akan datang,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah menyarankan penggunaan rokok elektronik atau vape diharamkan secara total.
Saranan itu susulan kebimbangan terhadap penyalahgunaan dadah yang semakin meningkatkan di Pahang terutamanya dalam kalangan belia berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsan (AADK).
Titah baginda, antara punca utama golongan muda terjebak dalam ketagihan dadah secara langsung dan tidak langsung bermula dengan penggunaan vape. – UTUSAN