Cabaran penerbit mengembalikan keghairahan penonton ke panggung - Utusan Malaysia

Cabaran penerbit mengembalikan keghairahan penonton ke panggung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERNIAGAAN filem menyaksikan cabaran baharu dengan kemunculan platform OTT yang memberi saingan kepada industri pawagam.

Selepas pandemik, platform OTT muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan disebabkan adanya permintaan yang tinggi.

Dalam erti kata yang lain, penonton, dewasa ini, ramai yang lebih memilih menonton wayang di rumah berbanding di panggung wayang.

Keadaan ini sedikit sebanyak menimbulkan kegusaran dalam kalangan pembikin filem yang mahukan naskhah yang mereka hasilkan, berjaya di pawagam.

Pengarah Urusan Infinitus Gold, Gayatri Su-Lin Pillai mengakui kekhuatiran timbul apabila jumlah penonton ke pawagam menurun.

Namun katanya, perubahan itu, tidak menghalang penerbit untuk terus menghasilkan filem berkualiti untuk memenuhi tuntutan penonton yang menginginkan pengalaman sinematik yang hanya boleh mereka alami di pawagam.

“Sambutan penonton di pawagam berubah selepas Covid-19 dan perubahan ini berlaku di seluruh dunia. Sebagai penerbit, tentulah kami gemuruh setiap kali kami menghasilkan filem. Perniagaan filem ini berisiko tinggi kerana ia membabitkan pelaburan yang besar.

“Tetapi, masih ramai penonton yang dahagakan pengalaman sinematik di panggung wayang. Buktinya, filem Mat Kilau yang menerima sambutan memberangsangkan.

“Ada banyak filem yang masih laku di pawagam, tapi untuk naskhah yang bukan untuk tayangan panggung wayang, mungkin sukar untuk menarik penonton,” katanya ketika ditemui sempena tayangan perdana filem Don Dukun, baru-baru ini.

Kata Gayatri, sekarang cabaran terbesar adalah untuk kembalikan keghairahan dan minat orang ramai untuk datang ke pawagam menonton filem.

Jelasnya, perkara itu hanya akan berlaku sekiranya filem yang disajikan berkualiti dan mampu memberi pengalaman sinematik yang penonton inginkan.

“Seperti filem-filem kami yang lain, kami cuba memberikan penonton pengalaman sinematik yang memuaskan menerusi Don Dukun.

“Bagi mereka kepuasan dari segi kesan khas (CGI), audio, muzik, jalan cerita yang memuaskan di samping kemunculan pelakon-pelakon senarai A dalam filem ini.

“Kita telah lakukan yang terbaik. Terserah kepada penonton untuk membuat penilaian. Dan kejayaan sebuah filem terletak pada ketentuan Tuhan,” kongsinya.

Filem berkualiti tarik ramai penonton
Kemerosotan penonton untuk menonton filem tempatan di pawagam juga diakibatkan lambakan filem tidak berkualiti yang ditayangkan di panggung.

Pengarah filem Bisikan Dosa, Faizul A. Rashid yang bersetuju dengan perkara itu juga khuatir sekiranya persepsi negatif sejumlah besar penonton terhadap filem tempatan terus kekal dan tidak diperbetulkan.

Justeru katanya, adalah menjadi tanggungjawab setiap pembikin filem untuk memastikan filem yang mereka hasilkan bukan pada tahap ‘sampah’ dan mampu menarik ramai penonton ke pawagam.

“Saya tak nafikan memang wujud banyak filem sampah yang ditayangkan di pawagam. Contoh filem seram kita, kadang ada juga saya tergelak sendiri apabila menontonnya. Apa pun, perkara ini subjektif. Bagi sebuah filem, ada penonton suka dan ada juga yang tidak.

“Tapi, sebagai pembikin filem, saya kena buat majoriti penonton suka kepada filem yang saya hasilkan.

“Kuncinya adalah kelainan, yang saya tampilkan dalam filem terbaru arahan saya, Bisikan Dosa. Jalan ceritanya berbeza, penonton akan suka.

“Apabila penonton tertarik dengan jalan cerita, sesebuah filem itu pasti akan berjaya di pawagam. Itu matlamat saya,” katanya.

Jelas Faizul lagi, kualiti filem yang dihasilkan juga tidak boleh diambil ringan. Disebabkan itu, pengarah ini mementingkan perancangan yang teliti sebelum memulakan pembikinan Bisikan Dosa.

“Perancangan untuk filem ini kami buat selama hampir satu tahun kerana kami mahu ia dihasilkan dengan baik.

“Kita perlukan tenaga kerja yang ramai disamping kepakaran yang tinggi untuk menghasilkan filem yang bagus.

“Untuk Bisikan Dosa, kami gunakan khidmat pereka kesan khas yang ramai, di samping dua pasukan produksi yang membabitkan mereka yang cukup berpengalaman. Boleh kata, kami ada pasukan yang cukup berpengalaman,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya