TANJUNG MALIM: Vokalis kumpulan Lefthanded, Datuk Nash mengakui satu cabaran baginya untuk menggenggam Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan secara APEL Q Universiti Pendidikan Sultan Idris (USPI) kerana masalah rabun mata.
Nash atau nama sebenarnya, Nashrudin Elias, 65, berkata, cabaran itu bermula dengan banyak tugasan yang perlu disiapkan dengan masalah penglihatan selain komitmen lain.
Namun, beliau bersyukur kerana rakan-rakan banyak membantunya selama dua tahun setengah sehingga berjaya menyelesaikan pengajiannya.
“Pihak universiti (UPSI) sudah sediakan tapak untuk penggiat seni yang berminat melanjutkan pelajaran dalam bidang atau kerjaya seni yang ceburi.
“Peluang sudah ada maka kena belajarlah bersunguh-sungguh. Jika kita berada di dalam bidang persembahan kenalah belajar cara pengurusan persembahan dan teknikal,” katanya pada pemberita selepas Istiadat Konvokesyen UPSI ke-26 di sini hari ini.
Nash yang terkenal dengan lantunan suara bernada tinggi memberitahu, umur bukannya ‘batu penghalang’ untuk belajar.
“Skop bidang seni amat luas dan jika kita hendak pergi jauh maka perlu tuntut ilmu bagi memastikan bidang seni yang diceburi berkembang maju.
“Jika mahukan keputusan yang baik, sebagai mahasiswa perlu ada semangat kerja berpasukan yang baik selain usaha yang keras dari diri sendiri,” katanya.
Ujarnya, pengiat seni yang mempunyai bakat yang Tuhan anugerahkan perlu ditambah nilai untuk meningkatkan diri dalam kerjaya itu.
“Kejayaan ini sebagai anak seni dan keluarga dan saya bercadang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya iaitu peringkat ijazah kedoktoran (PhD) bagi mencari kepuasan dalam hidup sebagai anak seni.
“Selepas ini, saya mahu mengajak lebih ramai lagi rakan seperjuangan terutama penggiat seni untuk tambah nilai dengan melanjutkan pelajaran.'” katanya. – UTUSAN