Bung Moktar `sedia' kembali turun naik mahkamah

Bung Moktar `sedia’ kembali turun naik mahkamah

BUNG MOKTAR RADIN - UTUSAN / FAIZ ALIFF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyatakan `kesediannya’ untuk kembali turun naik mahkamah.

“Kalau itu tuntutan (perintah mahkamah) kenalah. Insyallah, tiada masalah,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu ditemui media selepas tamat prosiding rayuan di Mahkamah Rayuan hari ini.

Isteri beliau, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad hanya tersenyum.

Mahkamah Rayuan di sini hari ini memerintahkan Bung Moktar dan Zizie membela atas tiga pertuduhan rasuah RM2.8 juta membabitkan pelaburan Felcra Bhd. dalam unit amanah, secepat mungkin.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama-sama Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pendakwaan.

Pihak pendakwaan memfailkan rayuan pada 18 September lalu selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas dan membebaskan Bung Moktar dan Zizie Izette daripada tiga tuduhan rasuah itu.

Mahkamah menetapkan 5 Disember ini untuk sebutan kes itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Bung Moktar, 65, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa pada 3 Mei 2019 menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan agensi berkenaan supaya melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette, 47, di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.

Pertuduhan ketiga Bung Moktar didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar atas nama Zizie Izette untuk sebab dan tempat sama pada 19 Jun 2015.

Dalam pada itu, Zizie Izette turut didakwa bersubahat dengan beliau melakukan perbuatan itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Pendakwaan terhadap Bung Moktar dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara Zizie Izette didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) yang membawa hukuman yang sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN