KUALA PILAH: Lapan pelajar lelaki sebuah sekolah agama swasta didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap pelajar lain, bulan lalu.
Bagaimanapun, empat daripada mereka yang berusia 15 tahun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan bersama di hadapan Majistret Saiful Sayoti.
Seorang lagi tertuduh berusia 16 tahun pula mengaku bersalah atas pertuduhan sama iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 1 pagi di asrama sekolah swasta agama tersebut di Rembau pada 16 Oktober lalu.
Kelima-limanya berdepan hukuman di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh juga didenda jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, baki tertuduh berusia 17 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan bersama dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun.
Salah seorang daripada mereka turut berhadapan satu lagi pertuduhan membabitkan kecederaan kepada seorang pelajar lelaki lain juga berusia 15 tahun.
Bagi pertuduhan tersebut, kesemua mereka mengaku bersalah dan berhadapan dengan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua pertuduhan tersebut dilakukan di asrama sekolah agama swasta berkenaan kira-kira pukul 5.30 petang, 16 Oktober lalu.
Majistret kemudiannya membenarkan wang jaminan sebanyak RM2,000 bagi setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi laporan akhlak. – UTUSAN