PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini mengambil keterangan seramai 16 individu termasuk pelaku dan rakan sebilik berhubung kes buli dan dera melibatkan seorang pegawai kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada 22 Oktober lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, kesemua individu terbabit dirakam percakapan bagi siasatan kes berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya masih menunggu keputusan laporan perubatan dibuat mangsa.
“Seramai 16 individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes tersebut membabitkan suspek, pegawai kadet yang lain, kakitangan, pegawai perubatan dan jurulatih.
“Kita juga menunggu laporan perubatan yang masih belum siap. Selain itu, seterika dipercayai bahan bukti turut dirampas,” katanya ringkas di sini hari ini.
Polis semalam telah merakam percakapan pelaku serta rakan sebilik pelaku bagi membantu siasatan.
Media semalam melaporkan mangsa ditekap seterika pada bahagian dada selepas diminta menggosok baju kerja milik seniornya dalam kejadian di bilik asrama universiti berkenaan, 22 Oktober lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilapor berkata, laporan berkaitan kejadian berkenaan dibuat mangsa berusia 20 tahun pada 8.23 malam kelmadin.
Rakaman percakapan pengadu telah diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras dan pengadu juga diminta untuk membuat rawatan di hospital bagi mengesahkan jenis kecederaannya.
Sebelum ini, Angkatan Tentera (ATM) menjalankan siasatan berkait kes seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), UPNM Sungai Besi yang disyaki dibuli dan didera oleh seorang penuntut senior
ATM turut menyatakan tindakan disiplin yang keras mahu pun tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pihak yang terbabit, jika terbukti bersalah.– UTUSAN