Buli: Buang, bayar balik kos tanggungan pengajian di UPNM

Buli: Buang, bayar balik kos tanggungan pengajian di UPNM

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hukuman keras termasuk dibuang dan wajib membayar balik segala kos tanggungan sepanjang pengajian di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) akan dikenakan terhadap pelajar yang didapati bersalah dalam kes buli.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan itu disifatkan wajar bagi mengelakkan kes buli di UPNM berulang.

Malah katanya, kementerian tidak akan sama sekali berkompromi termasuk menyembunyikan kes buli di UPNM.

“Kita tidak berkompromi soal disiplin sebab orientasi dan raging bukan benda baharu .Tetapi tidaklah pula sampai melibatkan kekerasan.

“Kita akan mengambil tindakan tegas termasuk memberhentikan dan kita akan tuntut supaya bayar balik tanggungan yang telah kita berikan sepanjang masa mereka melalui latihan sebagai seorang pegawai kadet,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Sambutan Hari Integriti Kementerian Pertahanan 2024, di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, hukuman terhadap pelajar yang terlibat dalam kes penderaan di UPNM itu akan ditentukan hari ini selepas semua siasatan selesai.

Dalam pada itu, beliau berkata, adalah tidak wajar memberi pelbagai gelaran terhadap institusi tersebut walaupun berlaku beberapa kes buli sebelum ini.

“Tidak wajar labelkan UPNM dengan pelbagai gelaran sebab di universiti ini ia bukan hanya menampung untuk pegawai kadet (tentera) tetapi mempunyai pelajar daripada orang awam.

“Kalau kita lihat jumlah pelajar ada dalam 4,200. Daripada jumlah itu ketika ni terdapat 957 pegawai kadet atau satu perempat daripada mereka ditaja Kementerian Pertahanan,” jelasnya.

Sementara itu Mohamed Khaled berkata, pihaknya juga melakukan pengasingan pelajar baharu dan senior bagi mereka yang menuntut di ALK- UPNM sejak Januari lalu bagi mengelakkan berlakunya kes buli. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN