KUALA LUMPUR: Pelakon, Diana Danielle menjelaskan reaksi gembira yang dipamerkan ketika hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, adalah kerana bertemu rakan media selepas selesai sesi pengesahan rujuk hari ini.
Enggan mencetuskan salah faham, Diana atau Diana Danielle Danny Beeson, 33, menegaskan momen perceraian yang dilaluinya bukan perkara yang menggembirakan mana-mana pihak.
“Saya bukan gembira (bercerai), tetapi sebab saya kenal rakan media yang seperti kawan-kawan, jadi saya senyumlah.
“Ini bukan momen bahagia untuk sesiapa. Jangan salah faham,” katanya.
Hari ini, peguam mewakili aktres itu, Datuk Akberdin Abdul Kadir memaklumkan mahkamah mengesahkan Diana dan Farid Kamil masih suami isteri.
Tambah Akberdin, pasangan itu perlu mengambil perakuan rujuk di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan membawa dokumen tersebut ke mahkamah yang sama untuk permohonan cerai yang ditetapkan pada 2 Disember ini.
Pada 4 November lalu, Diana hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan untuk memfailkan cerai kali kedua terhadap suaminya, Farid Kamil.
Diana dan Farid juga dikhabarkan tidak lagi sebumbung kira-kira sebulan sebelum pelakon filem Imaginur itu memaklumkan nekad untuk bercerai menerusi sebuah hantaran di Instagram, pada 28 Oktober lalu.
Farid bagaimanapun enggan melepaskan isterinya dan mengakui berlakunya perselisihan faham kecil antara mereka.
Untuk rekod, Farid dan Diana bercerai talak satu namun mereka kembali rujuk selepas sebulan berpisah pada 10 Ogos tahun lalu.
Pasangan suami isteri ini mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora yang kini berusia 9 tahun. -UTUSAN