KUALA LUMPUR: Juara Hero Remaja 2017, Alif Muhaimin, tidak berkecil hati sekiranya tawaran sebagai watak utama lebih banyak diberikan kepada peserta lain daripada program yang sama.
Alif atau Alif Muhaimin Abdul Rahman, 30, tidak pernah menganggap gelaran ‘Juara Hero Remaja’ yang diraihnya akan memberi jaminan untuk mendapat tawaran sebagai watak utama.
“Kalau kita fikir pemenang ketiga atau keempat lebih banyak dapat tawaran watak utama berbanding saya, itu akan membuat saya ‘down’. Saya tidak pernah berkecil hati.
“Apabila berlakon, kita perlu ada rasa hormat. Ia rezeki masing-masing. Bagi saya, siapa berusaha dan faham lebih, lakonannya akan menyerlah.
“Contohnya Ikmal Amry yang satu ‘batch’ Hero Remaja dengan saya. Namun saya akui lakonannya lebih baik. Saya juga setuju jika tawaran watak utama diberikan kepadanya.
“Sama juga Meerqeen yang pernah berlakon sebagai abang saya walau kenyataan saya lebih tua daripadanya. Tapi di luar set, dia kembali anggap saya abang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Bangsar, baru-baru ini.
Sementara itu, pelakon Angkara Cinta itu juga meletakkan keunikan karakter sebagai fokus utama lakonan berbanding mengejar tawaran watak utama.
“Saya juga tidak mengejar ‘watak utama’ sebaliknya lebih selesa memberi tumpuan kepada karakter yang memberi impak.
“Sebelum ini saya ditawarkan watak utama, namun saya lebih tertarik dengan watak antagonis iaitu seorang psiko dan pembunuh. Bagi saya itu lebih memuaskan.
“Saya teringin untuk mencuba pelbagai lagi watak yang mencabar tidak kisah sampai patah tangan, lombat bangunan atau masuk dalam api,” tambahnya.
Terdahulu, timbul dakwaan mengatakan Alif sebagai Juara Hero Remaja paling sendu jika dibandingkan dengan pemenang yang lain.
Alif merupakan Juara Hero Remaja bagi tahun 2017 diikuti Farhan Asri di tempat kedua, Harris Annuar tangga ketiga, diikuti Ikmal Amry dan Safwan Nazri. -UTUSAN