PETALING JAYA: Ketua juri Separuh Akhir Muzik Muzik ke-39 (SFMM39), Edry Abdul Halim, menyifatkan semua lagu yang dipertandingkan di pentas itu sebagai berkualiti walaupun hanya 10 lagu yang layak ke kemuncak Anugerah Juara Lagu (AJL) tahun hadapan.
Menurut Edry, bukan hanya lagu nyanyian Syamel, malah terdapat beberapa lagu pilihannya juga tidak Berjaya melangkah ke edisi ke-39 anugerah berprestij itu.
“Setiap lagu ada peluang dan rezeki masing-masing. Ada yang ‘meletup’ dalam TikTok, YouTube dan menjadi runut bunyi drama. Kita tidak boleh pertikaikan rezeki lagu orang lain, yang juga mempunyai keunikan tersendiri.
“Saya juga gemari lagu yang dipersembahkan Syamel, Haqiem Rusli, Usop, Stacy, Elica Paujin kerana lagu-lagu tersebut juga bagus, tapi kami hanya perlu pilih lagu yang boleh bersaing di AJL.
“AJL adalah sebuah pertandingan di mana kita mencari saingan yang seimbang. Mahu buat bagaimana, rezeki tidak kesampaian. Kita tidak boleh ‘sumbat’ semua lagu kegemaran peminat kerana pertandingan ini mempunyai sistem,” katanya.
Edry mengulas luahan penyanyi, Ernie Zakri, di media sosial yang kecewa apabila lagu Belakang Tabir nyanyian Syamel tidak berjaya ke AJL 39.
Tambah Edry lagi, 10 lagu akhir yang tersenarai ke AJL39 telah dinilai melalui beberapa kriteria.
“Boleh dikatakan semua lagu bagus, cuma bila dalam pertandingan, kita tidak hanya menilai populariti lagu, tetapi juga susunan muzik, bait lirik, melodi, produksi dan cara penyampaian.
“Kriteria itu ada dalam sistem pemarkahan, sebagai juri kita menilai kualiti keseluruhan lagu. Kita mencari pemenang dengan lagu yang ada daya saing yang kuat.
“Dalam pertandingan ini, kita ada pakar yang akan menilai, biarlah mereka yang menentukan lagu terbaik.
“Saya percaya juri telah menilai dengan seadilnya melalui pandangan profesional mereka. Saya akur dengan markah yang telah diputuskan secara majoriti. Ia subjektif, tapi kita ada matlamat dan telah melakukan yang terbaik,” jelasnya.
Terdahulu, 10 lagu telah diumumkan layak ke Anugerah Juara Lagu ke-39 tahun hadapan.
Selain Edry, kesemua lagu tersebut diadili barisan juri professional antaranya Datuk Mokhzani Ismail, Efry Arwis, Ly Baiduri, Helen Yap, dan Ad Samad. -UTUSAN