Bukan dalam kawalan kami - Pendakwaan

Bukan dalam kawalan kami – Pendakwaan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Proses untuk menyahklasifikasi puluhan dokumen yang diminta oleh pembelaan dalam kes pecah amanah RM6.6 bilion harta kerajaan yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, tertakluk kepada agensi berkaitan.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, tempoh yang diambil untuk menyahklasifikasikan semua dokumen yang `dilindungi’ Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 juga bergantung kepada agensi-agensi yang terlibat.

“Terdapat sembilan kertas Kabinet, 12 dokumen daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi ada 12 dokumen dalam proses manakala Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam proses untuk menyahklasifikasi dokumen. Terdapat dua dokumen yang diperlukan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), namun dokumen ini telah hilang dari simpanan mereka.

“Proses menyahklasifikasi dokumen-dokumen ini mengikut OSA bukanlah di bawah kawalan pendakwaan. Ia tertakluk kepada agensi yang mempunyai dokumen berkenaan. Sama ada dokumen akan dinyahklasifikasi dan masa yang akan diambil juga bergantung kepada agensi terbabit,” ujar Muhammad Saifuddin.

Pendakwa Raya itu menghujahkan demikian bagi menjawab permohonan peguam-peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk K. Kumaraendran agar mahkamah melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Najib dan Mohd. Irwan Serigar daripada pertuduhan tersebut.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin kemudian mengarahkan untuk pihak-pihak berhujah dengan lebih lanjut sama ada mahkamah boleh membuat perintah DNAA apabila pihak pendakwaan tidak mengemukakan sebarang permohonan untuk berbuat demikian.

Ini kerana, jelas hakim itu, perintah DNAA hanya boleh diberikan pada tiga situasi sahaja iaitu pertuduhan tidak berasas, pengadu hilang atau pendakwaan enggan meneruskan kes terhadap tertuduh.

“Dua alasan yang pertama tidak terpakai dalam kes ini. Menurut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah, DNAA boleh diberikan sekiranya pendakwaan enggan meneruskan kes tetapi dalam kes ini, pendakwaan masih ingin meneruskan perbicaraan,” ujar hakim itu.

Pada 25 Oktober 2018, Najib dan Mohd. Irwan mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta Kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Permohonan yang dikemukakan hari ini merupakan percubaan ketiga pihak pembelaan untuk mendapatkan perintah DNAA. Dua permohonan pertama telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Terdahulu, Kumaraendran ketika memohon perintah DNAA mengatakan kes telah tertangguh sejak enam tahun lalu dan mahkamah juga telah memberikan masa yang banyak kepada pendakwaan untuk menyediakan segala dokumen.

“Apabila pendakwaan tidak menyerahkan dokumen-dokumen yang diperlukan, pembelaan anak guam saya (Mohd. Irwan) akan diprejudiskan. Masa mahkamah juga telah dibazirkan. Mahkamah wajar berikan DNAA, apabila semuanya telah dilengkapkan, pendakwaan boleh tuduh anak guam saya kembali,” kata peguam itu.

Sementara itu, Muhammad Shafee dalam membuat permohonan sama turut mempersoalkan tindakan pendakwaan menuduh bekas Ahli Parlimen Pekan itu sedangkan dokumen-dokumen berkaitan masih belum diperolehi atau dilengkapkan.

“Najib muncul di mahkamah hampir setiap minggu, tidak kira sama ada untuk kes jenayah atau sivil. Kami `dibom bertalu-talu’ (dengan kes), menyediakan kes yang mana ada di antaranya sukar untuk dikendalikan,” ujar Muhammad Shafee.

Prosiding bersambung Rabu ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya