SHAH ALAM: “Saya juga manusia biasa. Ada ketika, saya bersedih.”
Demikian luahan pendakwah selebriti, Da’i Syed mengenai kecaman netizen susulan pertuduhan rogol yang disabitkan kepadanya.
Pemilik nama sebenar Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful mengakui agak terkesan dan bersedih apabila dilemparkan kata-kata kesat berikutan kes tersebut.
Syed bagaimanapun enggan mengambil pusing dan tidak menyimpan amarah terhadap perkara itu.
“Saya baca komen netizen, tetapi tidak simpan dalam hati. Bukan baru hari ini saya dikecam, bahkan sudah lama, sejak saya sertai program televisyen lagi.
“Memanglah saya sedih. Tapi, apa pun, kehidupan tetap perlu dilalui seperti biasa.
“Itu lumrah kita sebagai manusia. Kita akan ada perasaan sedih itu,” katanya.
Syed ditemui media di Mahkamah Tinggi di sini selepas prosiding sebutan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen berhubung kes rogol yang disabitkan terhadapnya.
Syed diwakili peguam, Muhammad Amin Othman.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen di sini pada 30 Ogos lalu menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara dan tiga sebatan terhadap Syed selepas didapati bersalah merogol seorang wanita, pada lima tahun lalu.
Hakim, Norazlin Othman memerintahkan lelaki itu dihukum serta-merta selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Syed bagaimanapun memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini, berhubung sabitan dan hukuman yang ditetapkan mahkamah.
Menerusi notis rayuan yang difailkan pada 30 Ogos lalu, pendakwah berusia 29 tahun itu membuat permohonan itu kerana tidak berpuas hati terhadap keputusan Hakim yang menjatuhinya hukuman berkenaan.
Mengulas mengenai prosiding sebutan rayuan yang berlangsung pagi tadi, Muhammad Amin memaklumkan Timbalan Pendaftar, Nadia Othman telah menetapkan 10 Disember ini sebagai prosiding sebutan seterusnya bagi rayuan berkenaan.
“Pihak kami memfailkan rayuan untuk sabitan dan hukuman, manakala pendakwa raya merayu terhadap hukuman. Alasan penghakiman di mahkamah sesyen telah pun diterima.
“Jadi pihak kami perlu failkan petisyen sebelum esok. Itu adalah status rayuan yang difailkan anak guam saya setakat ini,” kongsinya.