GEORGE TOWN : Polis hari ini memaklumkan, kanak-kanak yang terjatuh dari bilik tidur utama sebuah kondominium di Lebuh Tunku Kudin, Gelugor di sini minggu lepas semakin menunjukkan perkembangan yang positif.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, hal ini demikian kerana, budak lelaki berusia empat tahun itu sudah boleh berkomunikasi dengan kedua ibu bapanya.
Pada masa yang sama kata beliau, mangsa juga telah dipindahkan ke wad biasa di sebuah hospital swasta di sini.
“Dia kini berada di wad kanak-kanak hospital dan keadaannya stabil. Dia juga sudah boleh makan dan minum seperti biasa.
“Bagaimanapun, kanak-kanak tersebut masih lagi berada di bawah pemantauan pakar,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 pagi itu, mangsa dilaporkan cedera parah setelah terjatuh dari bilik tidur utamanya di tingkat 12 kondominium terbabit.
Siasatan pihak polis mendapati, mangsa ditemui oleh neneknya yang juga penjaga mangsa di tingkat tujuh bangunan tersebut.
Difahamkan, mangsa adalah anak tunggal dan ketika kejadian, nenek mangsa yang berusia 63 tahun itu berada di dalam tandas.
Dalam pada itu, Swee Sake memberitahu, pihaknya akan merujuk kertas siasatan kes berkenaan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa yang terdekat.
“Sama ada nenek mangsa akan dituduh atau sebaliknya, kami juga sedang menunggu arahan daripada pihak yang terlibat,” jelas beliau.-UTUSAN