KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan, tiada sebarang pengumuman mengenai bonus untuk penjawat awam di negeri itu dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan hari ini kerana beliau enggan menjanjikan sesuatu yang belum pasti.
Ahmad Samsuri berkata, beliau hanya akan mengumumkan khabar gembira itu kepada penjawat awam sekiranya ada menerima peruntukan yang mencukupi daripada Kementerian Kewangan (MOF).
Menurutnya, situasi yang dialami oleh kerajaan negeri ketika ini agak sukar kerana perlu membuat permohonan kepada MOF untuk setiap perbelanjaan yang dikeluarkan.
“Dalam keadaan sekarang, kita nak umumkan dari segi angka dan jumlah itu, kita kena mohon dahulu (dari MOF).
“Setelah dapatkan pengesahan bahawa ia (bajet) akan diberi barulah kita laksanakan, jadi kalau kita umum dahulu (bonus) namun tak dapat pengesahan lagi, bermakna kita umum benda yang tak ada lah.
“Sedangkan kita nak umum benda yang ada dan surat telah dihantar kepada MOF beberapa bulan lalu untuk dapat kelulusan…. insyaallah (bonus) ada,” katanya kepada pemberita selepas membentangkan Belanjawan 2025 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.
Ditanya mengenai jumlah bonus yang bakal diperoleh kira-kira 14,000 penjawat awam di Terengganu pula, Ahmad Samsuri memaklumkan ia juga tertakluk kepada kelulusan yang bakal diberi MOF nanti.
Pada tahun lalu, Ahmad Samsuri juga tidak mengumumkan bonus untuk penjawat awam di negeri Terengganu ketika membentangkan Belanjawan 2024.
Namun, ia berlaku kerana kerajaan negeri enggan terpalit sebarang kontroversi yang boleh dikaitkan dengan ‘rasuah pengundi’ memandangkan tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman masih berlangsung. – UTUSAN