Bomba Melaka sasar 11 sekolah tubuh pasukan bomba junior

Bomba Melaka sasar 11 sekolah tubuh pasukan bomba junior

MOHD. PISAR Aziz (berdiri belakang, enam dari kiri) bergambar bersama pasukan bomba junior SK Tun Syed Ahmad Shahabudin di Ayer Keroh, Melaka. – UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka menyasarkan untuk mewujudkan 11 pasukan bomba junior di sekolah-sekolah rendah yang berminat pada tahun ini.

Pengarah JBPM Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd. Pisar Aziz berkata, buat masa ini sebanyak enam buah sekolah rendah telah menubuhkan pasukan bomba junior dengan jumlah penyertaan seramai 308 murid.

Kata beliau, sekolah yang terlibat adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Bachang, SK Tanjung Minyak 2, SK Tun Razak Bukit Katil, SK Rumbia, SK Parit Melaka dan SK Tun Syed Ahmad Shahabudin.

“Tujuan penubuhan pasukan ini adalah untuk mewujudkan kesedaran budaya keselamatan di peringkat usia muda. Pasukan ini akan diselitkan dengan pelbagai modul berkaitan situasi kecemasan seperti lemas ketika banjir atau berkelah dan kemalangan jalan raya.

“Selain itu, murid juga akan diajar kawad kaki, pertolongan cemas dan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) serta asas ikatan dan simpulan. Kita akan melantik dan melatih guru yang akan berperanan sebagai jurulatih untuk melaksanakan modul ini di sekolah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pasukan Bomba Junior SK Tun Syed Ahmad Shahabudin, baru-baru ini.

Menurutnya, setiap peserta akan diberikan sijil dan beberapa anugerah lain seperti pelatih terbaik pada majlis tamat latihan kelak.

Sementara itu, Muhammad Imad Ammar Muhammad Erwan, 11, berkata, dia terpanggil untuk menyertai pasukan bomba junior kerana minat yang mendalam terhadap aktiviti kawad kaki.

Bagi Muhammad Nuqman Muhammad Hafiz, 10, tugas bomba yang selalu memberi bantuan dalam apa jua keadaan membuatkannya berminat untuk menjadi anggota bomba.

“Saya sertai pasukan ini sebab banyak yang boleh dipelajari. Saya kini tahu cara memberi bantuan kecemasan awal dan kaedah yang betul untuk memadam kebakaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN