Dalam umur 52 tahun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara dari DAP, Ng Sze Han, tetap bertenaga menyepak bola di padang bola sepak Bandar Kinrara 2. Sebolehnya, beliau mahu bermain bola setiap minggu bersama komuniti.
Sze Han tidak kekok membuka langkah beraksi bersama pasukan digerakkan komuniti dan ibu bapa, Team Selangor Kinrara. Melalui aktiviti riadah seperti itu, Sze Han dan penduduk mendapat hikmah amat besar.
Bukan sekadar bermain bola, malah, ia merapatkan lagi hubungan Sze Han dengan penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa, kemudian disatukan dalam satu ‘temasya’ kecil.
Beliau pula tidak meletakkan batas protokolnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor dengan masyarakat, yang membuatkan kehadiran Sze Han nyata disenangi ramai.
“Ini memang acara saya memang promosikan di DUN Kinrara. Setiap minggu dan sudah dua tahun, kami menganjurkan program begini yang sangat mesra dan merapatkan lagi hubungan dengan penduduk.
“Di peringkat permulaan hanya ada 15 pemain bola sepak, sekarang lebih 70 pemain dalam kalangan murid sekolah rendah dan menengah,” katanya kepada Mingguan Malaysia selepas selesai program dan penyerahan jersi Team Selangor Kinrara.
Team Selangor Kinrara ‘melawan’ pasukan bola sepak veteran jersi warna biru dari Taman Damai Utama, Bandar Kinrara, yang turut disertai bekas pemain kebangsaan, Chow Chee Weng, 47.
Sze Han dan pasukannya kerap turun padang memberi bantuan kepada masyarakat dari aspek kesihatan, barangan asas dapur, kemudahan di sekolah dan beberapa yang lain. Beliau juga menggerakkan inisiatif Dapur Kinrara untuk bantuan makanan dalam kalangan komuniti.
Walaupun mungkin ada dalam kalangan komuniti bukan penyokongnya, namun tidak bermakna beliau mengabaikan mereka, sebaliknya, tetap membantu selagi bergelar wakil rakyat di kawasan itu.
NG SZE HAN——————————————————————————————————————–
BIODATA
Nama penuh: Ng Sze Han
Penggal DUN: 3
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Sains (Kejuruteraan Elektrik), Trine University, Indiana, United States
Kerjaya dan pengalaman:
• (2023-kini) Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor
• (2022-kini) Setiausaha DAP Selangor dan Penolong Bendahari DAP
• (2018-2023) Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru (Cina)
• (2013-2018) Pengerusi Jawatankuasa Khas Pengurusan Sumber Air Selangor
• (2013-2022) Bendahari DAP Selangor
• (2008-2013) Ahli Jawatankuasa One Stop Centre (OSC), Kewangan, Infrastruktur, Kemudahan dan Audit Dalaman, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ)
•(2001-2008) Pengurus Wilayah Asia Pasifik di Augier SA (Perancis)
Status: Berkahwin (lima anak)
———————————————————————————————————————————————————————
“Saya tidak kisah siapa pun yang memerlukan bantuan, asalkan mereka ini tinggal di Selangor khususnya DUN Kinrara dan bekerja di sini, mereka harus saya bantu. Selepas pandemik Covid-19, pasukan kami tidak pernah berhenti menghulur bantuan,” katanya.
Bercerita tentang tawaran untuk pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor lalu, beliau tidak menawarkan manifesto khusus, namun hanya memasukkan kehendak penduduk.
Pada 12 Ogos 2023, Sze Han menang dengan 71,290 undi (54,535 majoriti undi) menumpaskan calon Perikatan Nasional (PN), Wong Yong Kang yang hanya memperoleh 16,755 undi.
“Memandangkan ini sudah masuk penggal ketiga saya di DUN, lebih berkesan saya memasukkan kehendak dan keperluan mereka seperti menambah fasiliti di taman rekreasi, perbaiki keadaan jalan raya dan sebagainya,” katanya.
Katanya, cabaran terbesar adalah bagaimana beliau mengendali permintaan dan keperluan rakyat di kawasan berbeza mengikut kawasan dengan taburan penduduk mengikut kaum yang
kurang seimbang.
“Kinrara mempunyai bilangan penduduk paling ramai kira-kira 125,000 orang. Jadi, pembangunannya dan keperluannya berbeza. Namun, saya perlu dapatkan pandangan semua penduduk apa kehendak di kawasan masing-masing.
“Bagi golongan muda pula, saya anjurkan acara beginilah (main bola), forum, sembang santai dan pelbagai lagi untuk memahami kehendak mereka,” katanya.
Sze Han berkongsi kawasannya masih berdepan masalah jalan raya berlubang dan tidak memuaskan. Namun, beliau komited menyelesaikan isu jalan raya walaupun bukan perkara baharu berlaku.
“Keadaan jalan raya kurang memuaskan ini berkait dengan ukuran jalan yang panjang dan terlalu banyak kawasan perumahan selain projek paip air yang menjejaskan struktur jalan raya.
“Memang ada agihan peruntukan RM3 juta dari kerajaan negeri untuk setiap DUN, namun masih tidak cukup untuk menampung kos turapan jalan raya. Namun, saya tetap lakukan yang terbaik untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya. – UTUSAN