KUALA LUMPUR: “Bocey masih ada. Cuma, selepas ketiadaan arwah Abam tiada lagi tawaran buat kami.”
Demikian kata pelawak dan penyanyi, Achey yang memaklumkan kumpulan yang dianggotainya bersama Fad dan Allahyarham Abam masih lagi aktif dalam industri seni tanah air.
Menurut Achey, selepas kehilangan sahabat karibnya pada tahun 2020, dia dan Fad lebih banyak menerima undangan yang melibatkan majlis korporat dan makan malam berbanding secara komersial terutamanya di kaca televisyen (TV).
“Bukan tidak mahu muncul langsung di kaca TV mahupun radio, tetapi boleh dikatakan selepas Abam pergi tiada langsung tawaran buat kami.
“Kebanyakkan kami menerima undangan untuk membuat persembahan di majlis korporat dan makan malam.
“Dalam masa sama, banyak program yang panggil kami untuk bercakap mengenai ketiadaan Abam, tapi sampai bila asyik kongsi cerita yang sama?” katanya.
Achey berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis sidang media Bocey Comeback dan Dol’s Podcast, di sini, baru-baru ini
Enggan mengalah untuk teruskan perjuangan sebagai penghibur, Achey menegaskan mereka tiada niat untuk menggantikan posisi arwah Abam dengan sesiapa bahkan mahu mengekalkan identiti Bocey sehingga ke akhir hayatnya dan Fad.
“Walaupun kini kami jarang muncul di TV dan radio, kami sentiasa mencari jalan untuk kekal relevan dalam industri. Cuma, Bocey kini dianggotai oleh saya dan Fad sahaja.
“Sekiranya ada ahli lain, kami tidak akan menggunakan nama Bocey. Saya dan Fad juga sudah berbincang meskipun salah seorang daripada kami meninggal dunia, kami tetap akan bawa nama Bocey,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Bocey bakal membuat kemunculan semula di pentas muzikal buat julung kalinya secara langsung di Capitol Theatre, Singapura pada 30 November ini.
Pentas komedi yang dijangka berlangsung kurang dari dua minggu itu juga bakal menampilkan barisan pelawak dari Dol’s Podcast iaitu, Shuib, Mamat Sepah dan Shuk Sahar.