Bocey buat ‘comeback’, jemput Dol’s podcast sepentas di Singapura - Utusan Malaysia

Bocey buat ‘comeback’, jemput Dol’s podcast sepentas di Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kumpulan komedi, Bocey yang dianggotai Fad dan Achey, bakal membuat kemunculan semula dalam sebuah persembahan pentas muzikal buat julung kalinya secara langsung di Capitol Theatre, Singapura pada 30 November ini.

Pentas komedi yang dijangka berlangsung kurang dari dua minggu itu juga bakal menampilkan barisan pelawak dari Dol’s Podcast iaitu, Shuib, Mamat Sepah dan Shuk Sahar.

Menurut Fad, Bocey Comeback Live In Singapore itu adalah hadiah istimewa buat peminat yang menyokong Bocey sejak 12 tahun lalu khususnya di Kota Singa.

“Alhamdulillah walaupun Bocey tidak serancak dulu di kaca televisyen, namun permintaan terhadap kami masih ada dan peminat tetap setia menyokong. Lihat saja Bocey Podcast yang mendapat sambutan positif sejak mula diperkenalkan kira-kira tiga bulan lalu.

“Malah, idea serta keberanian untuk mengadakan Bocey Comeback Live In Singapore juga tercetus sejak kami berdua mengendalikan podcast bersama. Komen serta respon peminat yang memberikan suntikan semangat untuk kami kembali mendekati semua peminat terutama mereka yang jauh di Singapura,” katanya.

Mengangkat sentimen persahabatan serta perjuangan ‘komedi itu menyatukan’, pentas muzikal gabungan dua kumpulan komedi itu merupakan anjuran Filloz Entertainment & LR Asia dengan kerjasama HMA Entertainment.

Menurut Liza Ramli, Pengarah LR Asia selaku salah seorang penganjur bersama dari Malaysia, Bocey Comeback Live In Singapore adalah sebuah penganjuran mega yang menyatukan dua kumpulan komedi terkenal tanah air di pentas yang sama.

“Bayangkan Bocey dengan tenaga komedi mereka yang sudah sinonim di kalangan peminat dan kini digabungkan pula dengan Dol’s Podcast yang sudah dikenali dengan lawak bersahaja.

“Kami berharap peminat Bocey dan Dol’s Podcast di Singapura tidak melepaskan peluang ini untuk berhibur sepanjang 100 minit persembahan mereka,” jelasnya.

Tambah Shafrizal Sharif selaku penganjur Filloz International, pentas lawak yang bakal dihadiri lebih 2,000 penonton itu secara tidak langsung mengubati kerinduan peminat di Singapura yang kali terakhir melihat mereka beraksi ketika Allahyarham Abam masih ada.

“Kami yakin dan sangat teruja sejak idea ini dicetuskan. Melihat pada reaksi peminat, pementasan komedi ini bakal memberikan kepuasan luar biasa dari perspektif hiburan ringan yang bersesuaian ditonton oleh seisi keluarga dan berbilang bangsa.

“Ramai yang rindukan Bocey kembali beraksi di pentas bersama-sama dan kali terakhir mereka dilihat bersama ketika arwah Abam masih ada, empat tahun yang lalu,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Mengulas mengenai penglibatan Dol’s Podcast, Achey menyifatkan kehadiran kumpulan Sepah untuk memeriahkan lagi Bocey Comeback Live In Singapore sebagai satu kenangan manis untuk mereka.

“Sudah tentu saya teruja dengan idea pihak penganjur untuk mengundang Sepah bersama kami memandangkan keakraban kami sudah seperti keluarga sejak dulu lagi. Malah apabila Sepah bersetuju tanpaj berfikir panjang, saya sangat bersyukur,” ujarnya.

Tiket Bocey Comeback Live In Singapore yang bakal berlangsung di Capitol Theatre, Singapura pada 30 November 2024 memberi peluang kepada peminat untuk beramah mesra serta mendapat poster eksklusif. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya