KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) menyasarkan untuk bertanding lima kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan di bawah nama Kerajaan Perpaduan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, antara kerusi tersebut termasuklah Parlimen Titiwangsa, Putrajaya dan Labuan.
Beliau berkata perkara itu akan dibincangkan dengan rakan dalam kerajaan Perpaduan dalam usaha mengembalikan Wilayah Persekutuan sebagai kawasan putih bagi parti itu.
“Yang penting Wilayah Persekutuan mesti diputihkan dan saya mengharapkan bukan sekadar tiga kerusi di wilayah (BN menang) termasuk kawasan Datuk Jo (Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Ahli Parlimen Titiwangsa), Putrajaya dan Labuan, Insya Allah kita berunding baik-baik kita akan dapat lima kerusi.
“Kita buktikan dengan cara baik sebagaimana di PRK Nenggiri, Mahkota kita sekarang ini berada di ladum jam, mana-mana jam yang hidup, ladumnya akan ke bawah dan akan naik ke atas semula dan begitulah semangat yang ada pada BN.
“Siapa yang akan naikkan ladum ini ke atas, tidak ada orang lain kecuali UMNO, MCA, MIC, PBRS, Friends Of BN dan dengan kerjasama rakan rakan lain dalam kerajaan Perpaduan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Konvensyen BN Wilayah Persekutuan 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Untuk rekod Wilayah Persekutuan mempunyai 13 Parlimen dimana 10 dimenangi Pakatan Harapan (PH) dua Perikatan Nasional (PN) dan satu BN dalam PRU15.
Ahmad Zahid berkata, BN juga perlu kembali dominan dalam arena politik negara selepas PRU akan datang dan berhenti daripada bergaduh sesama sendiri.
“Cukuplah untuk timbulkan masalah dalaman sebab kita kena bersatu, keadaan sekarang ini budaya kita bukan budaya pembangkang, bukan budaya melukut di tepi gantang, kita kena kembali dominan wajib menang banyak kerusi.
“Kita perlu lupakan masalah titik bengik, kalau UMNO ada masalah, kita selesaikan secara dalaman, kalau MCA, MIC ada masalah selesaikan secara dalaman, jangan bergaduh sampai depan halaman rumah.
“Saya yakin dengan kepimpinan parti dalam komponen BN sekarang kita cukup bersatu hati,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi tujuh menteri dan timbalan menteri BN dalam kerajaan Perpaduan walaupun ada pihak mengatakan parti itu sekadar pelengkap kepada kerajaan. – UTUSAN