KANGAR: Barisan Nasional (BN) yakin menawan semula Perlis dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) memandangkan rakyat sudah mula sedar dan merindui sentuhan kerajaan sebelum ini yang lebih banyak memberi khidmat kepada rakyat.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, rakyat akan membuat penilaian dan perbandingan pentadbiran kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN) ketika ini dan ketika zaman pemerintahan BN sebelum ini.
Katanya, rakyat juga pastinya akan turut membandingkan politik khidmat dan sumbangan yang telah dibawa oleh BN selama ini khususnya di negeri ini.
“Semua ini tentunya akan difikirkan oleh rakyat bahawa sebaik-baik kerajaan itu adalah BN dan kita yakin akan bangkit semula selepas ini bagi mentadbir Perlis,” katanya ketika ditemui selepas Konvensyen BN Perlis 2024 di sini, hari ini.
Pada PRU15, UMNO dan BN buat pertama kalinya hilang penguasaan kerajaan negeri selepas kalah di semua 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk kalah semua tiga kerusi Parlimen di Perlis.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, BN Perlis sememangnya mempunyai potensi untuk memenangi semula hati rakyat memandangkan komponen gabungan tersebut turut menunjukkan perpaduan yang amat baik.
“Dengan pelbagai isu yang terpalit dalam pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini, rakyat pastinya akan membuat perbandingan dan memilih BN dalam PRU16 kelak. Saya berkeyakinan BN di Perlis akan bangkit dan menguasai kerusi-kerusi di negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, Zambry berkata, Konvensyen BN peringkat kebangsaan akan diadakan pada 30 November manakala Perhimpunan BN secara besar-besaran juga akan dilaksanakan pada 7 Disember di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). – UTUSAN