IPOH: Barisan Nasional (BN) memainkan peranan penting kepada kewujudan Kerajaan Perpaduan yang genap dua tahun pada 24 November, sehingga mencapai pelbagai kejayaan dari segi kestabilan politik dan perkembangan ekonomi.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, gabungan bersama Pakatan Harapan (PH) merupakan ketentuan Allah dan pada masa sama berterima kasih kepada MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan rakan lain BN ke arah pembentukan Kerajaan Perpaduan.
“Untuk tempoh dua tahun ini, kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memperoleh kejayaan. Hasilnya banyak pelaburan dari luar negara masuk ke negara kita dari pelbagai negara. Ini kerana kepimpinan yang dapat mewujudkan kestabilan politik,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Konvensyen BN Negeri Perak 2024 di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi BN Perak merangkap Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menerusi gabungan PH dan BN.
Ahmad Zahid pada masa sama menolak dakwaan kononnya kerajaan yang terbentuk merupakan kerjasama politik antara UMNO dan dAP dengan sindirian UMDAP.
Katanya, UMNO atau BN berkedudukan penting dalam kerajaan dan malah mempunyai lebih ramai bilangan Menteri penuh berbanding DAP yang memiliki banyak Ahli Parlimen.
“UMDAP tidak wujud, melainkan BN-PH atau PH-BN. Malah kita menjadikan agenda Islam dan agenda Melayu sebagai agenda nasional. Ini termasuklah Perdana Menteri meminta saya menjadi Pengerusi Kongres Ekonomi Bumiputera,” katanya.
Menuju ke arah Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16), Zahid Hamidi melihat keperluan untuk parti itu terus membariskan calon-calon muda.
Beliau memberikan contoh apabila BN berjaya menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dan Mahkota dengan mempertaruhkan muka baharu dan calon muda.
Mengenai negeri Perak, Ahmad Zahid mahu BN negeri itu kembali merampas beberapa kawasan Parlimen dan DUN yang kecundang dalam PRU-15 yang lalu. – UTUSAN