KUALA LUMPUR: Pelakon, Aedy Ashraf, 31, berpendapat pendatang baharu yang menjayakan filem Kahar: Kapla High Council, layak mendapat gelaran pelakon aksi dan versatil.
Jelas Aedy, gelaran itu wajar diberikan melihat kepada kesungguhan dan disiplin mereka dalam menjayakan naskhah ini.
“Saya rasa bukan diri kita iaitu pelakon yang patut meletakkan apa-apa status atau label, tapi terpulang kepada penonton.
“Jika penonton merasakan mereka boleh digelar pelakon aksi masa depan, maka penonton yang tentukan.
“Tapi dengan semua usaha yang mereka letakkan dalam filem ini, saya berpendapat pelakon ini wajar dipanggil pelakon aksi, malah versatil melihat kepada lakonan dan emosi yang dipersembahkan,” katanya.
Aedy berkata demikian ketika mengulas mengenai kebimbangan pelakon dan koreografi seni sebelum ini mengenai industri seni tidak mempunyai pelapis naskhah aksi.
Malah, Aktor Filem Popular, Anugerah Bintang Popular Ke-36 itu juga berharap keberadaan mereka akan mampu meletakkan industri filem negara ke peringkat lebih baik.
“Bercakap tentang potensi, saya terkejut dengan persembahan dan dedikasi yang diberikan para pelakon dalam naskhah ini .
“Pada masa yang sama, saya bangga dan terinspirasi dengan mereka walaupun saya lebih berpengalaman.
“Persiapan mereka sangat cemerlang, juga masing-masing menjaga disiplin seperti datang ke set penggambaran tepat waktu,”
“Saya mahu mereka pergi lebih jauh
dan semoga industri filem kita akan terus melebarkan sayap menjadi lebih bagus,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Terdahulu, pelakon aksi, Ruzaidi Abdul Rahman meluahkan rasa bimbang pelakon lelaki masa kini hanya mempunyai bentuk badan sasa, namun tidak mempunyai asas pertahanan diri.
Senada dengan Ruzaidi ialah pelakon, Fad Anuar yang berpendapat sesetangah adegan aksi masih kelihatan kaku kerana pelakonnya tidak menguasai asas seni berlawan. -UTUSAN