KANGAR: Keperluan membina tembok sempadan di sepanjang laluan keselamatan khususnya di negeri ini tertakluk kepada penilaian agensi-agensi keselamatan negara terlebih dahulu, bukan membabitkan soal kos untuk kerajaan tidak melaksanakannya.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, proses penilaian itu berjalan secara berterusan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan dan agensi-agensi berkaitan.
Katanya, di peringkat Kementerian Ekonomi, tumpuan dalam Rancangan Malaysia Ke-13, (RMK-13) lebih tertumpu untuk membangunkan lagi ekonomi sempadan dan ia turut melibatkan soal keselamatan agar tidak berlaku isu-isu berkaitan penyeludupan.
“Jadi secara dasarnya, sama ada bina tembok, pagar atau sebagainya, prosesnya adalah melalui penilaian. Ada idea atau cadangan untuk bina tembok namun banyak lagi soal lain yang perlu diberikan pertimbangan.
“Pakar-pakar yang tahu tentang selok-selok cabaran sempadan ini adalah agensi-agensi keselamatan yang terlibat dan biarkan mereka membuat penilaian tersebut terlebih dahulu.
“Kita (di Kementerian Ekonomi) akan mendengar penilaian tersebut dan jika ia menjadi keperluan dan keutamaan negara dengan kos tertentu yang dibentangkan, kita akan lihatlah bagaimana untuk melaksanakannya.
“Kita juga tidak sebut tidak boleh laksana (pembinaan tembok) sebab kos,” katanya ketika ditemui selepas Sesi Libat Urus RMK-13 Kementerian Ekonomi bersama Kerajaan negeri Perlis di Dewan 2020 di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, isu sempadan negara khususnya di negeri ini yang mudah dibolosi berikutan hampir keseluruhan pagar keselamatan uzur dan usang hanya boleh diatasi dengan kerajaan menyediakan peruntukan besar bagi membina tembok di sepanjang laluan itu.
Langkah membaiki pagar tiap kali rosak atau dirosakkan adalah tidak efisien kerana selepas dibaiki waktu pagi, sebelah petang akan dirosakkan lagi.
Sebelum itu, laporan muka depan Utusan Malaysia telah membangkitkan mengenai keadaan hampir keseluruhan pintu pagar keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand khususnya di negeri ini yang uzur dan usang memberi ancaman besar kepada keselamatan dan kedaulatan negara.
Keadaan itu membabitkan laluan keselamatan di sesetengah laluan di sepanjang 98.2 kilometer (km) kawasan sempadan di Perlis terutama dari Chuping, Padang Besar sehingga Pos Bukit Batu Putih, Kuala Perlis. Sepanjang 45km daripada garisan sempadan tersebut pula tidak memiliki tembok atau pagar keselamatan susulan keadaan muka bumi berbukit bukau dan hutan tebal.
Kebanyakan pagar sempadan di sekitar negeri juga sudah berusia lebih 30 tahun yang sudah tiba masanya digantikan dan memerlukan penambahbaikan segera.
Pagar sempadan yang rosak dan usang itu juga antara punca berlaku aktiviti pembolosan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan penyeludupan barangan terlarang seperti dadah serta ketum di sekitar laluan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar.
Sementara itu, Rafizi berkata, Perlis merupakan antara negeri yang akan terus menjadi keutamaan Kerajaan Persekutuan dan dalam tempoh RMK Ke-12, negeri itu telah diperuntukkan sebanyak RM2.87 bilion manakala di bawah Rolling Plan 5 (2025) RMK-12 tersebut, Perlis juga telah diperuntukkan sejumlah RM643.06 juta.
Katanya, peruntukan tersebut adalah bagi melaksanakan sebanyak 45 projek baharu dan 129 projek sambungan.
“Dalam aspek pelaburan bagi negeri Perlis, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) telah berjaya menarik pelaburan direalisasikan sebanyak RM96.1 bilion bagi tempoh 2021 hingga 2023.
“Kerajaan persekutuan juga terus komited bagi membawa kemakmuran ke masyarakat di negeri Perlis termasuklah bagi meningkatkan ketersambungan (connectivity) antara luar bandar dengan bandar.
“Dalam hal ini, sebanyak RM690.4 juta telah diperuntukan di bawah (RP5) tahun 2025 bagi membina projek jalan perhubungan desa dan jalan luar bandar di Perlis seperti projek membina jalan dan jambatan menghubungkan jalan pesisir pantai ke Kuala Sanglang dengan kos RM195.0 juta. Projek ini dijangka dapat meningkatkan aksesibiliti ke pelbagai destinasi pelancongan sepanjang pantai sekaligus merangsang aktiviti ekonomi,” katanya
Tambah Rafizi lagi, bagi memperkukuh pembangunan di kawasan sempadan, kerjasama melalui platform Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT) akan terus dimanfaatkan.
“Kerjasama ketiga-tiga negara terlibat melalui platform IMT-GT memangkin pelaksanaan projek strategik. Kedudukan Perlis yang berdekatan sempadan Malaysia-Thailand memberi kelebihan untuk memanfaatkan pelbagai peluang ekonomi dan perniagaan dalam perniagaan rentas sempadan,” katanya. – UTUSAN