KUALA LUMPUR: “Biasalah bila sudah ada badan yang cantik, mesti mahu tunjuk.”
Demikian kata pelakon, Ikmal Amry, 30, ketika diminta mengulas mengenai tindakan rakan seperjuangannya yang merupakan ahli kelab sukan Challo kerana sering dikecam gara-gara kerap menayang badan setiap kali melakukan aktiviti riadah.
Ikmal berpendapat, tindakan tersebut dilakukan hanya sekadar untuk berkongsi kepuasan selepas berjaya mendapatkan bentuk badan yang ideal.
“Perasaan membuak mahu tunjuk itu ada. Dulu saya umur 24 tahun pun selalu tunjuk badan saya yang cantik di Instagram setiap hari. Bagi saya, memiliki badan yang cantik adalah satu pencapaian.
“Buat badan sangat susah, perlu disiplin yang tinggi termasuk jaga pemakanan. Contoh, kalau kita belajar dan berjaya, mesti mahu tunjuk atau kongsikan dengan orang. Sama juga situasi dengan buat badan.
“Sebelum memiliki badan berotot seperti itu, pernah nampak mereka tunjuk? Semestinya tidak. Mereka bekerja keras untuk dapatkan badan sedemikian. Sudah tentu mereka mahu menghargai usaha mereka sendiri,” jelasnya.
Bagaimanapun, Ikmal tidak menafikan tindakan tersebut dilarang dari sisi hukum agama bahkan mengakui menunjuk aurat itu adalah perkara yang salah.
“Tapi perbuatan tunjuk aurat itu tidak betul. Saya tidak akan menghalalkan yang haram, yang salah tetap salah,” katanya ketika ditemui di majlis tayangan perdana dua episod akhir drama From Saga With Love 2 baru-baru ini.
Dalam pada itu, bekas peserta Hero Remaja tersebut mengakui tidak terkesan dengan kecaman yang dilemparkan kepada rakan-rakannya memandangkan dirinya bukan lagi ahli aktif kelab sukan itu.
“Mengenai kecaman itu, saya tidak terkesan kerana saya bukan lagi ahli aktif. Selepas berkahwin, saya tidak lagi aktif menyertai aktiviti yang dianjurkan oleh Challo.
“Malah, saya juga tidak lakukan perkara yang mengundang kecaman tersebut. Jadi, saya tidak perlu terasa. Semua yang dalam pasukan Challo adalah kawan-kawan saya,” ujarnya.
Sebelum ini, ada beberapa pihak yang kurang berkenan dengan tindakan ahli kelab Challo yang berlari dalam keadaan tidak berbaju.
Kelab sukan itu dianggotai ramai selebriti tanah air seperti Meerqeen, Aedy Ashraf, Amir Ahnaf, Ben Ali, Ezaidi Aziz, Syafiq Kyle dan ramai lagi.