KUALA LUMPUR: “No comment.”
Demikian respons penyanyi, Amir Ukays mengenai sejauh mana kebenaran pembabitan anaknya dalam kes curi sebuah kereta Ferrari yang tular baru-baru ini.
Amir enggan memberi kenyataan kerana dia tidak tahu sejauh mana kebenaran dakwaan itu.
“Saya tak boleh komen, saya pun tak tahu tentang perkara ini,” katanya.
Amir ditemui sempena sidang media konsert Malam Silaturahim semalam.
Polis baru-baru ini mengesahkan anak seorang penyanyi tempatan antara enam individu yang ditahan membabitkan kes curi sebuah kereta Ferrari yang ditinggalkan di pusat cuci kereta di Hulu Klang, 17 November lalu.
Susulan kejadian itu, empat suspek, berusia antara 23 hingga 33 tahun ditahan di sekitar Ampang.
Turut diberkas adalah seorang individu berusia 38 tahun yang ditahan pada 20 November lepas.
Mengulas lanjut, Amir memaklumkan terpaksa berhadapan dakwaan itu meskipun tidak tahu menahu mengenai kes terbabit.
“Betul atau tidak, saya tak tahu. Saya tak boleh cakap lebih,” jawabnya ringkas.