Beruang matahari jantan mati dirempuh kenderaan di LPT2 

Beruang matahari jantan mati dirempuh kenderaan di LPT2 

KEADAAN bangkai beruang matahari jantan selepas dilanggar kenderaan di LPT2, Kuala Terengganu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seekor beruang matahari jantan mati selepas dirempuh kenderaan di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) pada pukul 8 pagi tadi.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, beruang seberat 60 kilogram itu mati di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

“Sebaik sahaja menerima aduan mengenai kemalangan tersebut, seramai enam anggota Perhilitan pergi ke lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Biodiversiti Terengganu 2024 di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata,  seekor lagi beruang yang tular di media sosial kerana dilanggar kenderaan di Kilometer (km) 422 LPT2 pada Ahad lalu belum ditemukan setakat ini.

“Kemungkinan besar, beruang itu sudah masuk semula ke hutan berhampiran dan kita berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan haiwan itu segera melaporkannya kepada Perhilitan,” katanya.

Pada Isnin lalu, media melaporkan seekor beruang dilihat berguling kesakitan selepas dilanggar kenderaan dalam  kejadian di Kilometer 422, LPT2 arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan.

Video berdurasi 59 saat itu mendapat simpati netizen yang mahu Perhilitan mengambil langkah segera untuk menyelamatkan beruang tersebut agar kecederaannya boleh dirawat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN